Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024. Foto Facebook Bernama Radio
AGENDASUKANKINI

Paris 2024: Shah Firdaus mara ke suku akhir keirin

PARIS, 11 OGOS: Atlet berbasikal trek negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom berjaya melayakkan diri ke suku akhir acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Pelumba berusia 28 tahun itu, mara selepas ungguli saringan ketiga pusingan repechage di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines dengan mencatatkan 10.154 saat (s).

Shah Firdaus, pemenang dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lepas, mengatasi pelumba Kanada, Nick Wammes (+0.014s), Liu Qi (+0.121s) dari China, pelumba Suriname, Jair Tjon En Fa (+0.144s), dengan hanya dua pelumba mara ke suku akhir, hari ini.

Wakil tuan rumah, Rayan Helal terdahulu menamatkan saingan di kedudukan kedua tetapi telah disingkirkan kerana kesalahan menghalang pelumba lain.

Shah Firdaus terpaksa beraksi di repechage kerana disingkirkan pada pusingan pertama kerana berada di garisan biru dan diberi amaran kerana memaksa pelumba lain terkeluar trek dengan memasuki laluannya.

Pada saringan pertama suku akhir esok, beliau akan berdepan cabaran sengit antaranya daripada pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Glaetzer dari Australia dan pelumba Jepun Kaiya Ota.

Mengulas mengenai insiden penyingkiran itu, ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley berkata Shah Firdaus perlu menjadi lebih matang dalam membuat keputusan di atas trek.

Shah mempunyai potensi untuk menjadi apa sahaja yang dia mahu, tetapi perlu menjadi lebih matang. Dia tahu dia tidak boleh berada di bawah. Kami telah menghabiskan bertahun-tahun bersama seperti anda tidak boleh melakukannya.

“Dia seorang atlet yang hebat tetapi dia tidak akan menjadi hebat sehingga dia mengetahui bahawa dia perlu membuat keputusan sendiri pada masa yang tepat. Anda tidak boleh bergantung kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, sandaran utama pingat emas bagi Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya pada saringan pertama kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek.

Pusingan suku akhir dijadualkan pada jam 11.29 pagi Ahad (5.29 petang di Malaysia), diikuti separuh akhir sejam kemudian dan final pada jam 1.32 tengah hari (7.32 malam di Malaysia).

– BERNAMA


Pengarang :