Pemain profesional badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia menewaskan pemain ke-62 dunia dari Sepanyol Pablo Abian, 21-10, 21-13 dalam masa 34-minit, dalam perlawanan Kumpulan G di Porte de La Chapelle Arena sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir Olimpik Paris pada 31 Julai 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Paris 2024: Zii Jia mara ke suku akhir, tewaskan Popov

PARIS, 1 OGOS: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia berjaya menyingkirkan pilihan tuan rumah Toma Junior Popov untuk mara ke pusingan suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024, hari ini.

Pemain di ranking ketujuh dunia itu, yang turut terpaksa berdepan cabaran daripada sorakan padu penyokong di Porte de La Chapelle Arena, mencatatkan kemenangan straight sets 21-13, 24-22 dalam masa 43 minit.

Ia sekali gus memperbaiki pencapaiannya di temasya Tokyo 2020, apabila tewas kepada jaguh China, Chen Long pada pusingan 16 terbaik.

Pemain berusia 26 tahun itu, seterusnya berdepan cabaran getir menentang pemain nombor tiga dunia dari Denmark Anders Antonsen, yang juga kawannya pada suku akhir, esok.

“Ia adalah perlawanan yang sukar, terutamanya pada set kedua kerana saya menentang penonton tetapi saya hanya cuba bertenang dan fokus pada permainan. Saya sangat gembira untuk mara ke suku akhir kerana edisi lepas kalah pusingan 16, ini satu kejayaan bagi saya.

“Tentang Antonsen, pastinya sukar kerana pertemuan terakhir kami (dalam Masters Malaysia) juga sukar. Lebih-lebih lagi apabila di Olimpik, semangat semua orang semakin berkobar dan lebih fokus, semoga kami akan bermain dengan permainan terbaik esok,” katanya.

Mengikut rekod pertemuan, pemain Denmark itu telah memenangi lima perlawanan manakala Zii Jia telah mencatatkan tiga kemenangan, termasuk kemenangan 21-15, 19-21, 21-11 pada Masters Malaysia, Mei lalu.

Antonsen, yang mendapat bye pada pusingan 16 terakhir selaku pilihan keempat temasya mempunyai tempoh rehat sehari tambahan berbanding Zii Jia.

Juara All England 2021, Zii Jia, mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan G selepas menewaskan pemain ke-70 dunia Viren Nettasinghe dari Sri Lanka pada Ahad dan pemain Sepanyol, Pablo Abian yang beraksi dalam Olimpik kelima sejak edisi Beijing 2008, semalam.

Popov pula muncul juara Kumpulan H dengan mencipta kejutan ke atas Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia, semalam.

– BERNAMA


Pengarang :