PBTSELANGOR

Parkir percuma antara tawaran menarik sempena ulang tahun MPKS

SHAH ALAM, 2 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menawar pelbagai inisiatif menarik bermula 1 Ogos hingga 16 September ini sempena ulang tahun ketiganya.

MPKS memaklumkan antara tawaran adalah parkir percuma di seluruh kawasan pentadbirannya dan potongan penuh Notis E dan Waran F cukai taksiran pada 7 Ogos ini.

“Selain itu, pengurangan 50 peratus bayaran kompaun pelbagai bagi semua kesalahan di bawah undang-undang yang diguna pakai MPKS bermula 7 Ogos hingga 16 September.

“Tawaran pengurangan ini turut meliputi bayaran RM10 kompaun letak kereta sebelum tindakan mahkamah dikenakan bermula 10 Ogos hingga 30 September ini,” katanya di Facebook.

Menurut MPKS, pelancong yang berkunjung ke Bukit Malawati dan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan bermula 1 hingga 7 Ogos turut mendapat potongan tiket 25 peratus.

“MPKS turut membuat agihan pulut kuning pada 9 0gos di lima masjid terpilih selepas solat Jumaat sebagai tanda kesyukuran meraikan sambutan ulang tahun ini,” tulisnya.


Pengarang :