Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lalu Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada 1 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir, tewaskan pasangan Korea Selatan

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mencipta sensasi apabila melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Kim So Yeong-Kong Hee Yong.

Kejayaan menundukkan pemenang pingat gangsa edisi lalu di Porte De La Chapelle Arena itu menyaksikan mereka melakar sejarah menjadi beregu wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Pearly-Thinaah bermula cemerlang apabila mendahului 10-3 dan corak permainan agresif berterusan dipamerkan pasangan itu menyaksikan mereka berjaya menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12.

Pasangan negara dipaksa bekerja keras pada set kedua, namun prestasi cemerlang Pearly-Thinaah menyaksikan mereka meraih kemenangan 21-13, sekali gus menyingkirkan wakil Korea Selatan itu dalam tempoh 42 minit, lapor Berita Harian.

Pearly-Thinaah menjadi beregu wanita kedua negara yang berjaya melangkah ke suku akhir di pentas Sukan Olimpik selepas gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Bagaimanapun, Vivian-Khe Wei ketika itu gagal ke separuh akhir apabila tewas di tangan pasangan Jepun, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Pearly-Thinaah bagaimanapun bakal diuji lebih hebat di separuh akhir apabila menentang Qing Chen-Yi Fan dari China yang mudah menewaskan pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8.


Pengarang :