Menteri Pengangkutan Anthony Loke menunjukkan aplikasi harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah pada sidang media di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya pada 17 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemandu, pemilik treler rempuh rumah hingga dua maut berdepan tindakan

SEREMBAN, 4 OGOS: Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pemandu treler dan pemilik syarikat berdepan tindakan undang-undang tegas, susulan rempuhan di sebuah rumah di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin, Pahang sehingga menyebabkan kematian dua beradik, semalam.

Loke berkata pihak penguatkuasaan telah memberi peringatan secara berterusan kepada pemilik syarikat pengangkutan, supaya bertanggungjawab memastikan pemandu mereka bebas daripada pengaruh dadah dan lain-lain kegiatan yang boleh mengundang bahaya.

“Saya akan mengarahkan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap pemilik syarikat, kerana pemilik lesen syarikat itu juga perlu bertanggungjawab kalau mereka lalai serta membiarkan kemalangan berlaku.

“Takziah kepada keluarga tersebut kerana kemalangan itu berlaku ketika mereka berada dalam rumah sendiri, tetapi malangnya telah dilanggar oleh treler sehingga mendatangkan dua kematian,” katanya kepada pemberita selepas majlis bersama pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 Negeri Sembilan, di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.

Beliau berkata pemiik syarikat itu juga berdepan pendakwaan, pengantungan dan penarikan lesen, jika didapati bersalah.

Loke berkata pihaknya telah mengarahkan anggota penguat kuasa menjalankan operasi bersepadu secara berterusan serta rondaan sepanjang waktu, terutamanya melibatkan kenderaan muatan berat.

“Kita sudah banyak kali mengambil tindakan mengantung dan menarik lesen, tetapi malangnya perkara ini masih lagi berlaku seolah-olah mereka mahu mencabar kedaulatan undang-undang negara,” katanya.

Media melaporkan seorang pemandu treler telah merempuh sebuah rumah sehingga menyebabkan dua beradik meninggal dunia di Kilometer 5, Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, telah direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Mohd Zaidi Mat Zain dilaporkan berkata ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati, pemandu treler itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Perintah reman ke atas pemandu berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Melody Woon Sze Mun hari ini, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA


Pengarang :