Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sempena pameran awam pembangunan semula KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 10 Februari 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam sedia tapak niaga pasar tani

SHAH ALAM, 5 OGOS: Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menyediakan tapak khas kepada peniaga yang beroperasi setiap Ahad di Bazarena Stadium Shah Alam, di sini.

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu sudah dimasukkan dalam rancangan pembangunan berkenaan demi memastikan golongan terbabit dapat mencari sumber pendapatan seperti biasa.

“Dalam pelan pembangunan (KSSA) memang ada kawasan untuk mereka berniaga. Kita jamin semua boleh berniaga di ruang yang kita tetapkan.

“Saya akan pastikan kesemua dapat berniaga cuma mereka kena mempunyai lesen. Bukan yang masuk secara tidak sah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui pada pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata operasi perniagaan juga mungkin akan dibuat pada Sabtu bagi menampung keperluan peniaga.

“Kita boleh buat sistem giliran berniaga. Tidak semestinya Ahad. Kita boleh buat Sabtu dan Ahad, ikut kesesuaian dengan tapak kawasan yang kita ada.

“Ini untuk pastikan semua dapat berniaga seperti biasa (sekarang) dengan tempat berniaga yang lebih baik,” katanya.

Berikutan pembangunan KSSA, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) mengalihkan tapak niaga pasar tani ke kawasan berhampiran namun masih dalam perkarangan Stadium Shah Alam.


Pengarang :