Menteri Pengangkutan Anthony Loke ditemui pemberita selepas merasmikan program ‘Arts On The Move’ anjuran Think City dengan kerjasama MRT Corporation dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang disokong oleh Yayasan Sime Darby dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di stesen MRT Pasar Seni pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Pemegang lesen B1, B2 lebih 10 tahun layak mohon B penuh mulai 1 Oktober

PUTRAJAYA, 2 OGOS: Program khas peralihan diperkenalkan kepada pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 untuk mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi) bermula 1 Oktober ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata antara syarat bagi menduduki program itu ialah individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 secara aktif untuk tempoh berterusan minimum 10 tahun.

“Syarat ini bagi memastikan tahap kompetensi dan pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Bulan Kemerdekaan 2024 peringkat Kementerian Pengangkutan (MOT), di sini hari ini.

Loke berkata calon yang menjalani program khas peralihan itu akan dikenakan RM160 bagi menampung kos operasi di institut memandu (IM).

Beliau berkata calon juga perlu menghadiri latihan litar selama dua jam dan lulus penyesuaian kenderaan, melibatkan amali penunggangan, informasi pemanduan selamat serta pengoperasian motosikal berkuasa besar.

Sebelum ini kos mendapatkan LLM kelas B adalah RM900 membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar.

Beliau berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kini dalam fasa akhir persiapan bagi memperkenalkan program peralihan berkenaan, termasuk melaksanakan perubahan sistem dan penyelarasan dengan pihak IM.

Selain itu, Loke berkata lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) juga akan digabungkan dengan kelas B (melebih 500cc).

Menurutnya penggabungan itu ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 terlalu rendah setiap tahun kerana ramai yang memilih untuk mendapatkan kelas B sahaja.

“Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal…bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.

-BERNAMA

 

 

 


Pengarang :