Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Exco Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail melawat reruai selepas merasmikan program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (penggantian) 2035 di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam pada 20 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDANASIONAL

Pengezonan semula Sabak Bernam majukan kawasan industri, pelancongan

SABAK BERNAM, 20 OGOS: Selangor mengenal pasti beberapa lokaliti sekitar Sabak Bernam yang perlu dizon dan dikategorikan semula bagi mewujudkan pembangunan bandar di kawasan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan perubahan landskap di daerah itu perlu dibuat bagi memastikan ia dapat dimajukan sebagai kawasan industri dan pelancongan.

Beliau berkata Sabak Bernam juga perlu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti yang ditekankan
dalam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam Selangor 2035 (Penggantian).

“Ada beberapa lokaliti dizonkan sebagai kawasan industri, perumahan dan pelancongan. Bagi membangunkan zon industri, kita sudah sedia membelanjakan kos tanah kepada pemilik.

“Perubahan landskap ini perlu untuk membangunkan Sabak Bernam. Pengisian dalam draf ini dikumpul selama setahun dan akan menjadi panduan kepada Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB),” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan simbolik perasmian program publisiti dan penyertaan awam draf rancangan tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (penggantian) 2035 di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam pada 20 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Ditemui selepas merasmikan pelan itu hari ini, Amirudin berkata Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) antara contoh kemajuan yang dibuat dan kini berkembang mengikut fasa.

Pada masa sama, beliau menegaskan pentadbiran negeri mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat berbanding menaik taraf status MDSB kepada perbandaran.

“Kita bukan hendak ‘title’ (gelaran) sahaja tetapi ia perlu memenuhi kriteria dan keperluan ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri perlu memikirkan ‘boosting’ (lonjakan) di kawasan ini dan salah satunya adalah SABDA yang mempunyai potensi serta tarikan,” jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDSB Azman Dahlan berkata draf rancangan tempatan itu bukti daerah tersebut mampu berdaya maju selain bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Menerusi kajian ini, penduduk akan bertambah melalui pewujudan peluang pekerjaan dan berpendapatan tinggi bagi menjadi bandar berdaya huni,” katanya.

Draf itu merangkumi aspek seperti kemakmuran ekonomi, digabungkan melalui penghayatan keagamaan, pengukuhan institusi kekeluargaan, pembudayaan ilmu dan ketelusan pentadbiran kerajaan.

Penyediaan selaras peruntukan Subseksyen 16(1), Akta 172 – pihak berkuasa tempatan boleh membuat cadangan menggubal, membatal atau mengganti rancangan tempatan berpandukan Manual RT Edisi 2020.

Pelan itu meletakkan lima teras dengan 17 strategi pembangunan dan 176 cadangan pembangunan dalam bentuk projek, program, kawalan dan pengurusan untuk memandu arah pembangunan Sabak Bernam.


Pengarang :