Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Penjawat awam rugi RM99,000 ditipu sindiket jual beli kereta

KUALA TERENGGANU, 13 OGOS: Penjawat awam kerugian RM99,000 selepas ditipu sindiket jual beli kereta tidak wujud dalam aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata lelaki berusia 50 tahun itu melihat iklan jualan kereta Perodua Alza di aplikasi berkenaan, Khamis lalu.

Beliau berkata mangsa yang tertarik bertindak menghubungi nombor Telegram itu untuk urusan jual beli dengan individu dikenali Shahrizan.

“Setelah berbincang mangsa bersetuju membeli kereta itu pada harga RM26,000 dan membuat pembayaran penuh ke nombor akaun bank yang diberikan suspek.

“Bagaimanapun setelah selesai membuat pembayaran, suspek meminta mangsa memasukkan sejumlah lagi wang untuk kos deposit kastam. Suspek berjanji akan memulangkan wang tersebut selepas semua urusan selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azli berkata mangsa yang berasal dari Kuala Terengganu membuat lima kali pembayaran ke dua akaun di dua bank berlainan menggunakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Namun suspek masih ingin terus memperdaya mangsa dengan mengarahkannya memasukkan sejumlah lagi wang atas pelbagai alasan.

“Mangsa yang berasa ditipu enggan mengikut arahan berkenaan dan membuat laporan polis Ahad lalu,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :