AGENDAJENAYAH

Penyanyi dilapor hilang 4 pagi, dompet, telefon bimbit ditemui di Jambatan Kota

SHAH ALAM, 14 OGOS: Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan penyanyi serta YouTubers Muhammad Nidza Afham Mokhtar, 23, yang keluar rumah 7.45 petang semalam dan belum pulang hingga kini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa pada 4.22 pagi, yang menyatakan abangnya ketika itu memakai baju biru hitam keluar dari rumah di Bandar Puteri, Klang menggunakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing ke Stadium Sultan Sulaiman, Klang untuk berjoging.

“Pada 9.04 malam, teman wanita Muhammad Nidza Afham menghubungi beliau dan mendapati panggilan tersebut tidak dapat disambungkan.

“Teman wanitanya mendapati lokasi terakhir keberadaan Muhammad Nidza Afham menerusi aplikasi ‘Find My Iphone’ adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Cha berkata adik kepada Muhammad Nidza Afham pergi ke lokasi terakhir itu dan menjumpai telefon pintar iPhone serta dompet berisi dokumen milik abangnya seperti kad pengenalan dan kad pelajar.

“Bagaimanapun, didapati kad ATM Muhammad Nidza Afham telah hilang,” katanya.

Sehubungan itu, Cha meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penyanyi itu menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu media melaporkan penyanyi Aufahanie memohon orang ramai mendoakan agar abangnya, Muhammad Nidza Afham yang hilang sejak malam tadi segera ditemui.

Beliau berkata abangnya keluar ke Stadium Sultan Suleiman, Klang dengan menaiki e-hailing untuk berjoging.

– BERNAMA


Pengarang :