BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Orang Melayu bangkit gagalkan rancangan Malayan Union

Pada 3 Januari [1946], Dato’ Onn [Ja’afar] mula mengetuai Pergerakan Melayu Semenanjung Johor (PMSJ) dengan niat khusus untuk menjatuhkan Malayan Union dan membatalkan pengurangan hak keistimewaan orang Melayu.

Pada masa sama ia juga bertujuan meredakan pergaduhan kaum Cina-Melayu yang sudah pun bermula, kerana orang Melayu membayangkan mereka dan budaya mereka akan pupus akibat Malayan Union.

Memandangkan temubual pertama [Sir Harold] MacMichael dengan [Sultan] Ibrahim berlangsung pada 18 Oktober, Onn nampaknya telah memulakan langkahnya sebelum MacMichael sampai ke negeri seterusnya.

PMSJ adalah sebuah pertubuhan yang cukup ampuh untuk menanggapi sebarang gelombang rasa tidak puas hati yang datang dan ikut bersama-samanya.

Lebih-lebih lagi, ia dipimpin Onn sebagai presiden, yang ketika itu sudah berusia 50 tahun dan memiliki gabungan ciri-ciri pemuka kelas pertama, wartawan yang bersemangat dan pemidato politik.

Pada 24 Januari, Onn menulis surat terbuka kepada seluruh akhbar Melayu, menyokong cadangan yang pada mulanya dikemukakan Warta Negara iaitu agar sebuah kongres pertubuhan-pertubuhan Melayu diadakan secepat mungkin.

Ia berlangsung pada 1 Mac [1946] di Kuala Lumpur. Walaupun pelancaran rasmi tidak berlangsung hingga 11 Mei [1946], sejak dari tarikh 1 Mac itu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) benar-benar bergerak dengan Onn sebagai presidennya.

Tiada satu pun daripada semua ini dapat dicapai tanpa menjatuhkan martabat sultan, dan tiada siapa yang lebih rugi berbanding Sultan Ibrahim, yang telah menurunkan tandatangan dengan penuh rela sebelum segera meninggalkan negerinya untuk ke London, bukannya memimpin penentangan seperti yang dijangka oleh semua orang di Britain dan Tanah Melayu memandangkan keperibadian dan kekananannya.

Jika, seperti yang saya syak, Onn telah menyumbang kepada kejatuhan air muka ini melalui nasihatnya, lelaki tua itu kini terhutang budi pula kepadanya kerana berjaya menenangkan gerakan untuk menggulingkannya yang sedang meningkat mendadak di bawah pimpinan Dato’ Abdul Rahman bin Mohd Yasin, presiden Persatuan Melayu Johor.

Abdul Rahman telah menganjurkan satu mesyuarat bantahan di Masjid Abu Bakar di Johor Bahru pada 2 Februari. Mesyuarat itu, seperti kata-kata Stockwell, menunjukkan “Orang yang biasanya berfikiran sederhana telah menyeru dengan ucapan berapi-api untuk menggantikan Ibrahim dengan seorang yang dirasakan lebih layak menduduki takhta Raja.”

Tetapi Onn yang pernah membuat desakan sama walaupun tidak berkesan telah ‘mengubahsuai kemelampauan mereka walaupun mungkin atas sebab merasakan Sultan Ibrahim masih lagi berguna berbanding rasa kasihnya kepada baginda.

Dalam hal ini, perlu disebutkan bahawa Onn kemudiannya telah memberikan jawatan penting kepada Abdul Rahman iaitu ketua Jabatan Kewangan UMNO.

Ariffin Omar menghubungkaitkan peristiwa ini dengan satu peristiwa lebih penting yang berlaku di Kuala Lumpur pada 1 April, apabila Onn bukan sahaja mengadakan tunjuk perasaan menentang pelantikan [Sir] Edward Gent sebagai gabenor, tetapi memujuk Raja-raja yang sedang berkumpul untuk memulaukan upacara tersebut dan mengadakan sidang akhbar untuk sebulat suara menolak Perjanjian MacMichael, tanpa perlu menukar pakaian yang sudah dipakai mereka untuk ke majlis perlantikan Gent.

Celik politik

Drama peristiwa ini bukan sengaja diperbesar-besarkan. Malah lima puluh tahun selepas peristiwa itu, saya bertemu dengan mereka yang masih mengenangnya dengan linangan air mata. Harry Miller menceritakan bahawa ‘ratusan orang Melayu melilit kain putih di sekeliling songkok baldu hitam mereka (sebagai tanda berkabung atas hilangnya kepercayaan dan keyakinan mereka) berdiri di depan hotel di mana Raja-raja menginap dan melaungkan “Daulat Tuanku!”

Miller juga memetik kata-kata “salah seorang pemimpin [UMNO] yang berani:”

“Kami bawa mereka turun tangga untuk mengajar mereka. Mereka bernasib baik kerana kami tidak memusnahkan mereka sepenuhnya kerana telah menandatangani perjanjian MacMichael. Sebaliknya, kami beritahu mereka bahawa kami akan menyokong mereka.”

Tidak syak lagi, peristiwa itu sangat memalukan lebih-lebih lagi buat Gent, yang melaksanakan kewajipannya sebagai wakil Raja Inggeris, apabila sembilan penghinaan melalui pemulauan ini disampaikan pada hari pertama bulan April iaitu tarikh yang dirayakan British sebagai All Fools’ Day, dan betapa dia berharap para Sultan tidak bersungguh-sungguh melakukannya!

Onn dengan cepat membina kejayaannya, dan telah ditawarkan kesempatan yang jarang diperolehi. Kerajaan British, yang dikejutkan dengan penghinaan yang dilemparkan terhadap Gent, dengan pantas menghantar dua orang ahli parlimen yang mempunyai pengalaman dengan Tanah Melayu, untuk apa yang kini dikenali sebagai misi mencari fakta.

Untuk memastikan tidak ada berat sebelah yang tidak wajar dalam penemuan mereka, Kapten Gammans dipilih daripada parti Konservatif sementara Leftenan-Kolonel Rees Williams mewakili kerajaan Buruh. Sir Theodore Adams, seorang penjawat awam, melengkapkan kumpulan itu.

Sewaktu mereka menjelajah negara, ketiga-tiganya mendapati secara jelas bahawa pada “watak Melayu yang tenang,” ada kedalaman tersembunyi yang mereka tidak pernah sedari.

Ia tentunya mengejutkan Rees-Williams, yang dipetik oleh Simon Smith sebagai berkata, “secara semulajadinya orang Melayu yang kaya lebih suka bermalas-malasan dan menghabiskan masa disebabkan keadaan iklim yang baik dan menarik. Lebih-lebih lagi golongan diraja.”

Di setiap kampung, mereka diserang dengan kata-kata tajam dan bersifat peribadi terhadap MacMichael. Mereka secara umumnya melaungkan dalam bentuk plakad, bahawa MacMichael tidak lebih baik daripada Jepun, dan menzahirkan kasih penuh kepada sultan mereka.

Jelas bagi pegawai-pegawai ini bahawa kasih yang ditunjukkan itu lebih kepada peranan simbolik dan keagamaan yang dimainkan sultan, berbanding sifat peribadi sultan; mereka ibarat simbol tempatan yang akhirnya menjadi semangat kebangsaan.

Walaupun kedudukan sosial Onn jauh lebih rendah berbanding sultan, dia telah menonjolkan perasaan politik mereka, dan ini hakikat yang melanda seluruh negara.

Apabila laporan dikemukakan dan berdasarkan penilaian Gammans, boleh dirumuskan, seperti yang dipetik Lau, bahawa “Orang Melayu pastinya telah celik politik dalam tempoh semalaman.”

Petikan muka surat 120–122 buku Nekad: Potret Kehidupan Dato’ Sir Onn bin Ja’afar, terjemahan One Man’s Will: A Portrait of Dato’ Sir Onn bin Ja’afar tulisan Pamela Ong Siew Im. Ia boleh dibeli melalui www.bukuibde.com atau di toko Rencana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya. Tambahan perkataan dalam […] untuk keselesaan pembaca.


Pengarang :