EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (kanan) melawat pameran selepas merasmikan program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di SMK Darul Ehsan, Gombak pada 1 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Perluas program lindungi kanak-kanak ke serata daerah, usaha capai sifar kes dera

GOMBAK, 1 OGOS: Kerajaan Negeri berhasrat memperluas program perlindungan kanak-kanak ke serata daerah sebagai usaha mencapai sifar kes penderaan dan pengabaikan terhadap golongan itu.

EXCO kebajikan masyarakat berkata sebagai permulaan program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak dilancarkan di sekolah terpilih bagi memberi kesedaran kepada pelajar dan guru.

Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Anfaal Saari berkata sebanyak 1,805 kes penderaan fizikal, seksual, emosi serta pengabaian membabitkan kanak-kanak direkodkan di Selangor  setakat Jun.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui pemberita selepas merasmikan program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2024 di SMK Darul Ehsan, Gombak pada 1 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Angka ini amat serius dan perlu ditangani, sebab itu program advokasi dilaksana di sekolah terpilih di seluruh daerah bagi memberi kesedaran kepada pelajar dan guru agar lebih cakna dengan keadaan sekeliling.

“Saya amat berharap dengan penyertaan semua pelajar dan guru dapat meningkatkan kefahaman sekali gus berjaya membantu mencapai sifar dera dan abai kanak-kanak di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan program berkenaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, di sini hari ini.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tengah) bersama Pengetua SMK Darul Ehsan Zarina Mahmood melakukan gimik perasmian program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di SMK Darul Ehsan, Gombak pada 1 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Anfaal turut menggesa semua pihak untuk melaporkan sebarang kes mencurigakan yang berlaku kepada diri sendiri mahupun individu berhampiran dengan hubungi Talian Kasih 15999 atau polis.

“Ingat ya, sekiranya berlaku apa yang mencurigakan dapatkan pertolongan segera dengan hubungi Talian Kasih, polis atau mohon bantuan jiran terdekat.

“Besar harapan saya agar kita bersama mencari penyelesaian tepat bagi membantu kanak-kanak sentiasa peka dalam menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan dan lindungi golongan tersebut,” katanya.

Program yang berlangsung setengah hari itu turut diisi dengan ceramah interaktif JKM, Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia selain pameran dari pelbagai agensi.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (tengah) dan Pengetua SMK Darul Ehsan Zarina Mahmood bergambar bersama pelajar pada majlis perasmian program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di SMK Darul Ehsan, Gombak pada 1 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :