Pengerusi dan Pengurus Piala Sultan Selangor (TSSC) Tan Sri Abd Karim Munisar bersalaman bersama pemain pada majlis ramah mesra pemain pasukan pilihan Selangor bersama peminat Selangor di SACC Shah Alam pada 5 Ogos 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR
AGENDASUKANKINI

Piala Sultan Selangor lambang seteru sihat negeri, Singapura

SHAH ALAM, 16 OGOS: Piala Sultan Selangor bukan sekadar perlawanan bola sepak tetapi melambangkan keseteruan yang sihat dan bersejarah di antara negeri ini dan Singapura.

Selangor FC memaklumkan semangat yang lahir pada acara sejak beberapa dekad lalu membuktikan pasukan terbabit sentiasa bersedia mengharungi cabaran masa depan selain berpegang teguh pada asal usul.

“Piala Sultan Selangor 2024 sebuah pertandingan berprestij dan bersejarah yang bakal menemukan dua seteru lama di Stadium Merdeka yang penuh sejarah dan cukup terkenal dengan warisan bola sepaknya yang tersendiri,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Pasukan itu juga merakamkan penghargaan terhadap sokongan tidak berbelah bahagi peminat bola sepak selain menunjukkan sokongan yang positif.

“Kesetiaan dan semangat anda adalah tulang belakang kepada kejayaan kelab dan kami menghargai suasana yang sihat dan penuh harmoni sepanjang perlawanan ini,” tambahnya.

Selangor FC juga berharap penyokong pada perlawanan yang berlangsung esok mempamerkan semangat persahabatan dan kesukanan yang tinggi.

Pilihan Selangor pernah meraih gelaran sebanyak sembilan kali pada acara itu iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.

Sementara Pilihan Singapura pula pernah bergelar juara tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

Kedua-dua pasukan turut berkongsi kejuaraan pada 2015 memandangkan perlawanan terpaksa dibatalkan susulan jerebu.

Kali terakhir TSSC diadakan pada 2019 yang mana Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 1-0.


Pengarang :