Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyerahkan sumbangan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mangsa bah di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu, Alor Gajah pada 13 Ogos 2024. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mohd Akin
AGENDANASIONAL

PM hulur sumbangan ringankan beban 109 mangsa bah di Alor Gajah

KUALA LUMPUR, 13 OOGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyalurkan sumbangan kepada 109 mangsa banjir di Alor Gajah, Melaka.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Kanan beliau iaitu Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang melakukan lawatan kerja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu di Alor Gajah.

“Ini PPS pertama (yang saya lawati) sebelum ke PPS seterusnya. Di PPS ini, telah ditempatkan sebanyak 59 keluarga iaitu seramai 163 mangsa yang terjejas dalam bencana banjir di kawasan sekitar tidak termasuk PPS lain.

“Saya turut menyerahkan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 109 mangsa yang terkesan setakat 12 Ogos di PPS ini termasuk di PPS seterusnya,” kata Shamsul Iskandar dalam hantaran di laman Facebook hari ini.

Beliau berkata Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam turut hadir bagi meninjau keadaan mangsa banjir yang terkesan di kawasan itu.

Shamsul Iskandar turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Melaka, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan, Jabatan Sukarelawan Malaysia yang membantu mangsa banjir.

“Saya juga berdoa agar mangsa-mangsa yang terlibat tabah dalam menghadapi ujian ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :