Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan pemenang pingat gangsa edisi lalu Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada 1 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

PM ucap tahniah atas kejayaan Pearly Tan-M Thinaah mara ke separuh akhir Olimpik

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pearly Tan-M Thinaah kerana menjadi beregu badminton wanita pertama negara mara ke separuh akhir Sukan Olimpik.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, Perdana Menteri turut mendoakan kejayaan beregu ranking ke-12 dunia itu pada temasya Olimpik Paris 2024.

“Alhamdulillah, tahniah buat dua pejuang hebat cetus sejarah menjadi beregu wanita Malaysia pertama layak ke separuh akhir di Olimpik.

“Kekal tenang serta fokus dan semoga beroleh kejayaan!” katanya.

Pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Pearly-Thinaah menewaskan Kim So Yeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan yang juga pasangan ranking ke-10 dunia dengan 21-12, 21-13.

Pearly-Thinaah akan bertemu beregu nombor satu dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada pusingan separuh akhir nanti.

Beregu negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016 apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

– BERNAMA


Pengarang :