AGENDAJENAYAH

Polis serbu makmal dadah, seorang lelaki ditahan

IPOH, 9 OGOS: Polis Perak menyerbu sebuah rumah di Buntong yang dijadikan sebagai tempat pemprosesan dadah dan merampas 18.4 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM337,683.60 pada 7 Ogos lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata seorang lelaki warga tempatan turut ditahan dalam serbuan sekitar 8.25 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak itu.

Azizi berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun itu diupah untuk memproses dadah berkenaan oleh satu sindiket yang dipercayai mula bergiat aktif sejak Mei lepas.

“Antara dadah yang dirampas adalah daripada jenis methamphetamine (1.436 kg), heroin base (0.745 kg), heroin (0.765 kg), pil eramin 5 (0.56 kg), pil ecstasy (0.381 kg), kafein (12.740 kg) dan serbuk jus (1.78 kg).

“Ujian saringan awal air kencing turut dilakukan dan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai 10 rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah dan empat rekod jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Azizi berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman enam hari bermula semalam hingga 13 Ogos bagi membantu siasatan.

Beliau berkata tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan JSJ Narkotik Perak telah menyita sebuah kereta bernilai RM125,000.

Beliau berkata kejayaan tangkapan ini hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan lain.

“Kami menyeru orang awam supaya menyalurkan apa jua informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan penguatkuasaan dapat dipertingkat bagi memastikan negeri ini bebas daripada ancaman dadah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :