Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhammad memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua agensi pengendali buku dari China di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku China Selatan di Guangzhou pada 16 Ogos 2024. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
AGENSISELANGOR

PPAS-dua agensi dari China meterai MoU rancak penerbitan, pendidikan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama dua agensi pengendali buku dari China di Guangzhou pada 16 Ogos lalu.

Menurut PPAS, kerjasama membabitkan Pesta Buku China Selatan dan Southern Publishing Media Co Ltd bertujuan mewujudkan kerjasama dalam bidang penerbitan, pendidikan dan latihan.

“Kedua-dua MoU ini ditandatangani bertujuan untuk mewujudkan perkongsian pintar melalui pertukaran idea, pengetahuan dan kepakaran.

“Selain itu, ia bertujuan mewujudkan projek yang saling menguntungkan sekali gus menggalakkan persefahaman silang budaya, pembangunan sosial dan pertumbuhan ekonomi,” katanya di Facebook.

PPAS diwakili pengarahnya Datin Paduka Mastura Muhammad manakala Weng Xuhui mewakili Festival Buku China Selatan dan Chen Bing dari Pengarah Jabatan Antarabangsa di Southern Publishing Media Co Ltd.

Pemeteraian MoU bersejarah itu berlangsung di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku China Selatan selama lima hari sejak 16 Ogos lalu di Guangzhou.

Dalam pada itu, Mastura dalam ucapannya pada majlis tersebut memberitahu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memainkan peranan penting dalam hubungan antara Selangor dan Guangzhou.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhammad berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama dua agensi pengendali buku dari China di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku China Selatan di Guangzhou pada 16 Ogos 2024. Foto Facebook Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)

“Hubungan diplomatik antara China dan Malaysia bukanlah perkara baharu. Malah, dalam buku yang diterbitkan baru-baru ini berjudul Us and You – The Story of China and Malaysia, ia memberitahu kita bahawa hubungan diplomatik ini telah mencecah 50 tahun.

“Kejayaan ini bukan mudah untuk dicapai tanpa komitmen yang serius daripada kedua-dua pihak. Kini berada di tangan kita untuk bukan sahaja meneruskan legasi hubungan ini, tetapi untuk membawanya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Mastura mengakhiri ucapannya dengan menjemput Pesta Buku China Selatan untuk menyertai Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2024 pada 27 November hingga 3 Disember depan sebagai Negara Tamu.


Pengarang :