Orang ramai hadir bagi melakukan semakan di kaunter di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Putrajaya pada 19 Oktober 2022 menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRK DUN Mahkota: Hari undi 28 September, kempen 14 hari

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada 28 Sept.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR di sini, bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK DUN Mahkota.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.

PRK DUN Mahkota merupakan PRK kesepuluh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 2022.

Ramlan berkata secara keseluruhan PRK DUN Mahkota memerlukan peruntukan RM2.4 juta.

Beliau berkata seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu empat penolong pegawai pengurus dan 1,126 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK DUN Mahkota.

Ramlan berkata satu pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Beliau berkata tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 14 Sept hingga 11.59 malam, 27 Sept.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK DUN Mahkota adalah sebanyak 66,318 orang terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 401 anggota polis, 4,510 anggota tentera dan pasangan, serta 10 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK tersebut akan mula dijual pada 9 Sept.

Beliau berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan bagi PRK DUN Mahkota ialah Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang.

“Sebanyak 20 pusat mengundi biasa, mengandungi 109 tempat mengundi atau saluran, dan tiga pusat mengundi awal yang mengandungi 11 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi sebanyak 23 buah dengan 120 tempat mengundi atau saluran,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 9 Sept.

SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK DUN Mahkota supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon.

Ramlan berkata bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus, mesti dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC.

SPR dalam pada itu turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya, bagi melihat perjalanan proses PRK tersebut bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi, serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantikan yang telah ditetapkan,” katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh di portal rasmi SPR di www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 28 Ogos.

— BERNAMA

 


Pengarang :