PETALING JAYA, 4 OGOS: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing berjaya mengumpulkan lebih 500 beg darah melalui program derma darah sejak 2021.
Wakil rakyatnya R Rajiv berkata program itu sebagai usaha membantu Pusat Darah Negara mendapatkan bekalan darah mencukupi untuk kegunaan hospital.
“Sejak 2021 sebanyak 10 kali program derma darah orang ramai diadakan dengan 50 beg berjaya dikumpul pada setiap program.
“DUN Bukit Gasing akan laksana program apabila mendapat permintaan daripada Pusat Darah Negara yang memerlukan bekalan buat para pesakit,” katanya.
Ditemui pada program di Dewan Sekolah Chen Moh, Rajiv memaklumkan inisiatif itu dijalankan bersama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Rukun Tetangga Seksyen 1, Petaling Jaya.
“Sebelum ini, kita anjurkan di pusat membeli-belah di kawasan Bukit Gasing memandangkan ia sentiasa menjadi lokasi tumpuan orang ramai.
“Program hari ini kali pertama diadakan di sekolah. Kami mensasarkan untuk mengumpul 80 beg darah,” ujarnya.