AGENSISELANGOR

Pusat Kaunseling Selangor tawar khidmat percuma di tiga PBT

SHAH ALAM, 13 OGOS: Pusat Kaunseling Selangor (PKS) menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma di tiga pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu masyarakat yang berdepan dengan masalah kesihatan mental.

Kaunselor PKS Mohamad Fuad Mohd Ali berkata hab kaunseling di Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang dibuka setiap Sabtu mulai 9 pagi hingga 1 tengah hari.

Kaunselor Pusat Kaunseling Selangor (PKS) Mohamad Fuad Mohd Ali ketika program bual bicara Hai Selangor yang membincangkan topik Buli, jangan ambil enteng! pada 13 Ogos 2024. Foto MEDIA SELANGOR

“Selain itu, perkhidmatan sama turut ditawarkan di Kompleks PKNS Shah Alam, Seksyen 14 pada Isnin hingga Jumaaat mulai 11 pagi hingga 3 petang manakala Sabtu dan Ahad pula, 9 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam program bual bicara Hai Selangor, hari ini.

Menerusi program itu, Fuad memohon mangsa buli untuk berani tampil ke depan dan berkongsi masalah yang dialami dengan mendapatkan bantuan daripada kaunselor yang bertauliah.

“Orang ramai yang memerlukan perkhidmatan kaunseling dan psikologi boleh berhubung terus dengan PKS, kami sentiasa ada untuk membantu anda” katanya.

Mereka yang ingin membuat temu janji boleh menghubungi talian 03-5519 0500 atau WhatsApp 013-300 9291 dan mengikuti Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.

Mula ditubuhkan sejak 1990, PKS dikendalikan bawah Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor menawarkan perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara percuma kepada penjawat awam dan orang ramai.

 

 


Pengarang :