Pemain Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania Khairul Najib berlepas ke Jerman menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg pada 6 Ogos 2024. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Qaseh Rania ketengah bakat di Jerman, personaliti jadi kelebihan

SEPANG, 6 OGOS: Pemain termuda Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) 2023, Qaseh Rania Khairul Najib menjadi pemain wanita Asia Tenggara pertama menerima tawaran menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg di Jerman.

Ketua Wakil Asia Tenggara Wolfburg, Dato Kenhew Tze Kan berkata kualiti dimiliki Rania, 14, sukar didapati pada pemain lain seusianya merangkumi segenap aspek termasuk bakat, kemahiran dan personaliti yang memikat pengurusan gergasi kelab bola sepak wanita itu.

“Selain faktor fizikal dengan ketinggian yang baik, bakat serta naluri semula jadi sebagai pemain, paling penting ketenangan dimiliki Rania sukar didapati pada pemain lain walaupun senior.

“Sesi latihannya juga bukan calang-calang. Kita nampak komitmen Rania pada setiap sesi latihan membuatkan saya rasa cukup rugi jika tidak ketengahkan bakat ini,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Qaseh Rania diringi bapanya Khairul Najib Ibrahim berlepas ke Hannover, Jerman hari ini bagi memulakan sesi percubaan selama enam minggu bersama gergasi kelab bola sepak wanita itu.

Tze Kan berkata selama sesi percubaan di Jerman, Qaseh Rania akan melalui penilaian bagi menentukan tahap kebolehan dan kemahirannya selain pendedahan berlatih dengan juara dua kali kejohanan Liga Juara-juara Eropah (UCL) dibarisi pemain wanita terbaik dunia.

“Apa yang penting Rania perlu jaga diri, elak kecederaan kerana ini peluang keemasan untuknya mempamerkan kebolehannya di peringkat antarabangsa.

“Wolfsburg akan beri Rania peluang seluasnya untuk mempamerkan bakatnya dan cuba yang terbaik untuk memasukkan Rania ke dalam sistem ini. Kita mahu dia berjaya sebab dia mempunyai bakat dan keistimewaan yang tidak boleh dipersia,” katanya.

Pemain Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania Khairul Najib bersama Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor sebelum berlepas ke Jerman menjalani sesi percubaan dengan kelab VFL Wolfsburg. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR

Sementara itu Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya komited mengetengahkan bakat dalam pelbagai bidang untuk melonjak mereka ke peringkat lebih tinggi.

Katanya MBI pernah membantu membangunkan bakat Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.

“Penting untuk kita bantu bakat istimewa ini agar tidak terkubur yang akhirnya merugikan negeri dan negara.

“Kita juga sedang menunggu kertas kerja akhir dari Wolfsburg untuk kerjasama kejurulatihan dalam Akademi Merah Kuning untuk terus memantapkan sistem yang ada,” katanya.

Untuk rekod, pemain muda yang bermain sebagai posisi penyerang tengah itu pernah meraih anugerah Pemain Muda Terbaik bagi saingan Liga Super Wanita FAS 2023 ketika beraksi bersama pasukan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) FC.

Ketika 13 tahun, video pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong itu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma tular di media sosial dan menjadi bualan orang ramai apatah lagi dia bermain bersama pasukan lelaki ketika itu.

Qaseh Rania Khairul Najib berlepas ke Jerman pada 6 Ogos 2024 bagi menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR

Pengarang :