Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan bergambar dengan atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng
AGENDASUKANKINI

Pecah rekod kebangsaan, Raja Muda berkenan kalung pingat emas atlet renang

KUCHING, 21 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mengalungkan pingat emas kepada atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng yang mengungguli acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Tengku Amir Shah turut mengalungkan pingat kepada Chan Joseph Kai dari Melaka yang meraih perak serta atlet Sarawak Ho Hector Rze J (gangsa) di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya di sini.

Baginda juga mengucapkan tahniah kepada Andrew, 20, atas kejayaan membawa pulang pingat emas untuk Selangor selain meleburkan rekod kebangsan miliknya dalam acara terbabit.

Ketika ditemui sejurus upacara penyampaian hadiah, Andrew yang mencatat 27.40 saat(s) menerusi acara itu mengakui tergamam dan tidak menyangka pingat emas itu dikalungkan Baginda sendiri.

“Sebaik juruacara mengumumkan keberangkatan Raja Muda Selangor untuk sesi penyampaian hadiah di podium, saya terkejut. (Baginda) ucap tahniah atas kejayaan saya,” katanya.

Sebelum itu, Baginda diiringi EXCO Sukan merangkap Ketua Kontinjen Selangor Najwan Halimi berkenan menyaksikan acara renang membabitkan semua atlet Selangor.

Sebanyak lapan emas dipertaruh bagi acara renang di pusat akuatik hari ini, dengan kuartet renang Selangor mempunyai wakil bagi semua acara terbabit.

Selain Andrew, kilauan emas hadir menerusi Jayden Goh Li Jie bagi acara 200m kupu-kupu individu lelaki; Shun Qi Lim (200m kupu-kupu individu wanita) dan 4×100 gaya bebas wanita.

 


Pengarang :