AGENSISELANGOR

Rebut peluang program bimbingan usahawan digital percuma, terhad 200 peserta

SHAH ALAM, 16 OGOS: Seramai 200 peserta berpeluang mendapat bimbingan keusahawanan digital secara percuma menerusi program Selangor 1000 Digital di Hulu Langat, 5 September ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memaklumkan program akan berlangsung di Dewan Seri Cempaka, Kajang bermula 9 pagi hingga 5 petang.

“Belajar secara percuma daripada pakar industri seperti TikTok Shop, Touch ‘n Go eWallet, Maxis Business dan banyak lagi.

“Tempat adalah terhad kepada 200 peserta sahaja dan boleh mendaftar di pautan http://t2u.asia/e/35232,” katanya di Facebook.

Sebelum ini EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi Kerajaan Negeri memperkenalkan program Selangor 1000 Digital bagi memperluaskan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Program itu menjelajah ke lima lokasi bermula di daerah Petaling, Sabak Bernam, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.

Ia adalah kolaborasi antara Sidec, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (Upen) dan Platform Selangor (PLATS).

Menerusi program ini terdapat 10 topik latihan antaranya pengurusan perniagaan secara digital dan teknik penciptaan kandungan menarik untuk memberi pendedahan kepada peserta berkaitan tranformasi pendigitalan supaya dapat menjana pendapatan dan perkhidmatan mereka.


Pengarang :