AGENDABERITA UTAMANASIONAL

RS-1 teguhkan negeri, sumbang kemajuan ekonomi tertinggi

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menjadi kerangka pembangunan negeri dibentuk selepas berdepan situasi perubahan dunia yang bergerak pantas.

Dato’ Menteri Besar berkata pelaksanaan rancangan lima tahun itu juga disebabkan penularan pandemik Covid-19 selain perubahan iklim yang berlaku hingga menyebabkan banjir besar di Selangor pada 2021.

“RS-1 merupakan tindak balas apa kita fikir selepas berdepan pelbagai situasi termasuk Covid-19 yang menjadi permulaan besar. Kalau kita kekal tanpa berubah, kita tak mampu beradaptasi, tak bersaing.

“Sebab itu kita susun semula kerangka kemajuan ekonomi. Susun projek secara menyeluruh. Ini juga disebabkan ketidaktentuan politik. Menteri, perdana menteri bertukar ganti. Jadi kita mahu Selangor stabil jadi ilhamkan RS-1,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu sesi bual bicara bertajuk Ekonomi Madani: Pengalaman Selangor Untuk Malaysia di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika program bual bicara di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata Selangor perlu pesat membangun dalam semua sektor terutama ekonomi memandangkan lebih suku Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang negeri ini dengan 25.9 peratus direkodkan tahun lalu.

“Kita nak jadikan negeri makmur sebab nak sumbang ekonomi lebih banyak. Kalau Selangor patah, negara akan lumpuh.

“Sekarang jadi negeri berpendapatan tinggi namun akan berdepan dengan masalah kesenjangan ekonomi. Kita akan lihat dan tangani masalah ini melalui pendidikan dan kebajikan,” katanya.

Rabu lalu, pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi menerusi laman X memaklumkan Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia.

Negeri ini mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026).

Empat negeri yang melepasi tahap sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Labuan melepasi tahap berkenaan dengan wilayah ibu negara tertinggi iaitu USD29,967 (RM141,279).

Kiraan Bank Dunia Malaysia berdasarkan data KDNK 2023 setiap negeri yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.


Pengarang :