Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat replika tapak projek Sisa kepada Tenaga (Waste-To-Energy (WTE) Jeram diantara Worldwide Holdings Berhad (WHB), dengan kerjasama Shanghai Electric Power Generation (M) Sdn Bhd (Shanghai Electric) di tapak pelupusan Sanitari Jeram pada 17 Oktober 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Sasar 15 peratus, PBT Selangor pacu kitar semula sisa buangan

Pengurusan sisa antara cabaran utama Selangor yang mempunyai lebih 7 juta penduduk. Pada 2022, negeri merekodkan 7,000 tan pembuangan sampah sehari, tertinggi dalam negara.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri segera menyusun langkah mewujudkan sistem pengurusan sisa bersepadu bertujuan mengurangkan sampah ke tapak pelupusan.

Dibentang pada Julai 2022, Rancangan Selangor Pertama (RS-1) menyasarkan 15 peratus kadar kitar semula sisa sebagai penunjuk kejayaan.

Bagi mencapai matlamat, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenal program atau kemudahan kitar semula di kawasan masing-masing menggalakkan kadar lebih tinggi.

Hasilnya, selepas kurang dua tahun RS-1 diumum, Selangor mencapai kadar kitar semula sisa 8.24 peratus.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merekodkan kutipan kitar semula tertinggi antara PBT. Masing-masing mengutip lebih 200,000 tan dari 2021 hingga tahun lalu.

Bagi menggalakkan penglibatan masyarakat, MBSA misalnya mengagihkan baucar RM5 Speedmart kepada penduduk menukar kertas, tin, besi, pakaian dan yang berkaitan.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang mengutip lebih 2,000 tan barangan kitar semula pada tahun lalu bekerjasama dengan peniaga restoran, agensi kerajaan, institusi pendidikan dan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Empat rumah sampah turut dinaik taraf menjadi pusat kitar semula, termasuk di Pasar Besar Jalan Meru, Jalan Makyong 5 Bukit Raja, Taman Camelia Bandar Putera dan Taman Klang Perdana.

Exco Kerajaan Tempatan Ng Sze Han melawat tempat pembuangan kitar semula minyak masak terpakai ketika Program Berbuka Puasa bersama Penjaja Bazar Ramadan Puncak Jalil, Subang Jaya pada 13 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ganjaran

Minyak masak terpakai paling mendapat sambutan dalam kalangan penduduk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL). Faktornya mereka diberi wang tunai RM2.50 hingga RM3.00 bagi setiap satu kilogram.

Sejumlah 3,731.05 kilogram minyak masak terpakai dikumpul bermula Januari hingga Jun tahun ini di Program Kitar Semula Pasar Awam Banting.

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang berjaya meningkatkan kutipan barang kitar semula dari 3,000 tan kepada lebih 8,000 tan pada tahun ini menggunakan hab kitar semula sebagai tempat pengumpulan.

Terletak di Taman Tasik Chempaka, Bandar Baru Bangi, orang ramai mudah menghantar barangan tidak digunakan ke situ.

Sebanyak 4,228 tan barangan kitar semula pelbagai jenis dikutip Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tahun lalu.

Datuk Bandarnya Mohamad Zahri Samingon berkata, 1,917 tan diperoleh menerusi program kutipan kitar semula pintu ke pintu di 85 kawasan. Program kutipan pintu ke pintu sejak 2020 membabitkan 54,500 unit kediaman dengan purata penyertaan penduduk 60.08 peratus sehingga kini.

Tukar barang terpakai dapat keperluan dapur, itu inisiatif Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sehingga mereka mengutip 21,177.29 tan barangan bermula 2021 sehingga Mei tahun ini.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengutip lebih 16,000 tan (2021 hingga Jun 2024) sampah terpakai dan kumpulan pelajar sekolah menengah dan rendah antara kumpulan paling peka menyertai kempen kitar semula.

Perhubungan awam Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan media sosial seperti Facebook dan TikTok berperanan meningkatkan amalan kitar semula.

Kutipan bertambah daripada 2,748.43 tan pada 2023 kepada 5,765.73 tan sehingga Jun tahun ini.

Sejak 2021 sehingga kini, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) merekodkan 4,383 tan barangan terpakai diikuti, 2,287.3 tan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sejumlah 130.66 tan.

Selain mengutip barang terpakai, pentadbiran negeri turut membina loji sisa kepada tenaga (WTE), sekali gus mengurangkan sisa ke pusat pelupusan.

Pengarah Urusan KDEBWM Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata sasaran 7,000 tan sampah dikutip dan dilupuskan di WTE.

WTE akan dibina di Jeram, Kuala Selangor bakal menghasilkan bekalan elektrik untuk 200,000 unit rumah. Loji pertama dijangka beroperasi dua tahun lagi memastikan Selangor diurus dengan mampan dan berhemah.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Selangor menumpukan kelestarian alam sekitar di samping meningkatkan tahap kesejahteraan sosial melalui pembangunan infrastruktur hijau dan pemuliharaan sumber asli.

“Pengurusan sisa dan kitar semula merupakan tugasan yang mencabar untuk Selangor, khususnya dalam mengurangkan pembuangan sampah secara haram, meningkatkan kadar kitar semula. Namun untuk mencapai sasaran 15 peratus memerlukan usaha bersama terutama di kalangan masyarakat,” katanya.


Pengarang :