EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyeragaman di bawah Jawatankuasa Induk Majlis Pembangunan Lembah Klang Raya di Bilik Gerakan MTES, di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 8 Ogos 2024 . Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Selangor seragam perkhidmatan PBT, jangka siap dalam tempoh dua tahun

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor menyasarkan usaha memperkemas dan menyeragamkan proses penguatkuasaan seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) siap dalam tempoh dua tahun.

EXCO kerajaan tempatan berkata antara proses yang diperkemaskan termasuklah kebenaran merancang, pelesenan, perundangan dan penguatkuasaan, pengurusan kontraktor dan penyelarasan sempadan daerah.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim proses lain termasuk pelan pengubahsuaian bangunan, buku panduan teknikal kejuruteraan, sistem penyampaian lanjutan, dan pembangunan mampan.

“Ia adalah sebahagian daripada inisiatif Lembah Klang Raya dan proses ini bermula dengan empat bandar raya terlebih dahulu sebagai rintis iaitu Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang sebelum meluas kepada lapan PBT lain.

“Saya akan memastikan pihak berkepentingan dan pembayar cukai terlibat untuk memberi maklum balas mereka, membangkitkan isu dan berkongsi pendapat mengenai proses penyelarasan PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyeragaman di bawah Jawatankuasa Induk Majlis Pembangunan Lembah Klang Raya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim (dua, kanan) mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa penyeragaman di bawah Jawatankuasa Induk Majlis Pembangunan Lembah Klang Raya di Bilik Gerakan MTES, di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 8 Ogos 2024 . Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Suee Lim berkata jawatankuasa itu juga bakal menyeragamkan aplikasi semua PBT dan mengukuhkan sistem pusat sehenti bagi memudahkan rakyat dalam membuat aduan atau sebarang permohonan.

Jelasnya, jawatankuasa terbabit juga akan menyediakan kajian terperinci untuk meningkatkan kapasiti dan kecekapan berdasarkan rancangan pendigitalan PBT.

“Pelaksanaan pelan yang diperkemas ini akan menjimatkan kos, terutamanya untuk operasi penyelenggaraan,” katanya.


Pengarang :