SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor memperuntuk RM500,000 bagi menjayakan pelbagai program pembangunan Orang Asli sepanjang tahun ini.
EXCO hal ehwal Orang Asli berkata RM246,832 daripadanya sudah disalurkan setakat Julai untuk program pendidikan, projek naik taraf kediaman dan baik pulih prasarana.
“Turut diadakan program gotong-royong di perkampungan Orang Asli dan bengkel pemantapan pimpinan.
“Kita akan pastikan keperluan dan suara Orang Asli sentiasa dipenuhi khususnya berkaitan hal persempadanan tanah adat dan kemajuan prasarana mereka,” kata V Papparaidu hari ini.
Bercakap pada sidang media sempena sambutan Hari Orang Asli Sedunia di sini, beliau berkata kebajikan Orang Asli sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan mereka tidak tercicir dari arus pembangunan.
“Ini termasuklah penekanan mengenai kepentingan pendidikan dalam kalangan mereka. Kerajaan Negeri sedia pelbagai bantuan termasuk Program Khas Biasiswa Sagong Tasi untuk membantu mereka melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi.
“Saya juga minta pimpinan Orang Asli dan Tok Batin untuk sama-sama cakna mengenai kepentingan pendidikan pada anak-anak Orang Asli. Kita mahu pastikan sekurang-kurangnya mereka mendapat pendidikan hingga peringkat Sekolah Menengah dan lebih baik ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Terdahulu, Papparaidu memaklumkan sambutan Hari Orang Asli peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan dijadual berlangsung 25 Ogos di Kampung Orang Asli Serigala, Hulu Selangor.
“Pelbagai pengisian menarik termasuk persembahan kebudayaan disediakan dan dijangka dihadiri kira-kira 500 tetamu,” katanya.
Hari Orang Asli Sedunia disambut pada 9 Ogos setiap tahun bagi mempromosi dan melindungi hak penduduk asli dunia serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada masyarakat global.
Bagi peringkat kebangsaan, sambutan tahun ini dijadual berlangsung esok di Tondong, Bau, Sarawak.