Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Ogos 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor sokong aspirasi kerajaan, jayakan agenda Bumiputera turut manfaat kaum lain

SHAH ALAM, 20 OGOS: Selangor tekad menyokong aspirasi kerajaan dalam menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) sekali gus memberi limpahan manfaat berterusan kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata Selangor juga akan memastikan apa yang diaspirasikan dalam PuTERA35 dapat dilaksanakan dengan jaya demi kesejahteraan rakyat.

“PuTERA35 merupakan pelan komprehensif merentas lebih satu dekad yang tidak bersifat eksklusif kepada Bumiputera sahaja malah turut memanfaatkan kaum lain.

“Ia dibangunkan dengan hasrat menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi, meningkatkan taraf dan kualiti hidup Bumiputera juga untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook malam tadi.

Amirudin berkata penyediaan PuTERA35 juga mengambil kira pandangan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) melibatkan usaha bersepadu semua pihak berkepentingan daripada sektor awam, swasta termasuk golongan bukan Bumiputera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (empat, kiri) dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (empat, kanan) ketika acara peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Ogos 2024. Foto BERNAMA

Semalam, kerajaan melancarkan PuTERA35, hala tuju baharu sebagai langkah proaktif mengangkat darjat dan martabat Bumiputera.

Rancangan itu menggagas tiga teras sejajar Ekonomi Madani iaitu memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi dan menegakkan keadilan sosial.

Matlamatnya untuk membangunkan Bumiputera dinamik dan futuristik, mendepani isu, cabaran semasa dan mendatang selain menetapkan sasaran jelas bagi penyertaan, pemilikan dan penguasaan ekonomi.

Rancangan itu juga bakal membangunkan mekanisme pemantauan lebih berkesan melalui penetapan pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan setiap ikhtiar melibatkan Bumiputera.


Pengarang :