Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Seludup dadah guna dron di Penjara Tapah, polis rakam keterangan lima individu

IPOH, 13 OGOS: Polis sudah merakam keterangan lima individu termasuk pegawai penjara berhubung kes cubaan menyeludup dadah menggunakan dron di Penjara Tapah.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata mereka yang dipanggil memberi keterangan antaranya anggota yang mengawal rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pengawal pos bagi membantu siasatan.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat. Kita sedang menyiasat individu luar yang terlibat terbangkan dron itu dan siapa pihak dalam penjara yang bertindak sebagai penerima.

“Kita masih belum boleh mengenal pasti pihak terlibat, namun polis percaya kes ini ada kaitan dengan sindiket. Kita sedang memantau kes ini dan polis Bukit Aman juga telah ambil alih siasatan kes ini untuk melihat daripada pelbagai aspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Azizi berkata hasil siasatan awal mendapati kawasan penjara berkenaan dilengkapi CCTV, namun semasa kejadian rakaman CCTV tidak dapat mengesan kehadiran peralatan itu kerana diterbangkan terlalu tinggi.

“Modus operandi mereka menerbangkan dron pada kedudukan tinggi sehingga tidak dapat dikesan dan menjatuhkan dadah dari kawasan tinggi terus ke lokasi,” katanya.

Azizi berkata berlaku beberapa kes membawa masuk dadah ke Penjara Tapah membabitkan tangkapan banduan dan rampasan dadah antaranya heroin, methamphetamine dan pil yaba telah berlaku sejak 2022.

Sabtu lepas, Azizi dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan satu unit dron di bumbung sebuah blok Penjara Tapah ketika seorang sarjan penjara berkenaan membuat rondaan pada 11.30 pagi Jumaat.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati terdapat beg dobi digantung pada dron itu yang didalamnya terdapat barang disyaki dadah.

Siasatan awal mendapati terdapat satu peket plastik lutsinar mengandungi tiga peket plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 122 gram dan turut menemukan dua peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 12.9 gram.

– BERNAMA


Pengarang :