Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kanan) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian pada Majlis pelancaran Taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor di Menara 4, Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Puchong pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semikonduktor pacu ekonomi, bantu negeri capai hasil RM500 bilion

SUBANG JAYA, 6 OGOS: Pembangunan sektor semikonduktor membantu Selangor menyumbang RM500 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh tiga tahun ini.

Dato’ Menteri Besar berkata dengan sokongan dasar dan pelan negeri, ia membolehkan Selangor mempunyai kelebihan sekali gus mampu bergerak meningkatkan rantaian nilai ekonomi.

“Selangor tidak bercadang menjadi pemain industri yang kecil sebaliknya berhasrat melihat masa depan semikonduktor dengan lebih besar dan memiliki label (produk) Buatan Malaysia, direka di Selangor.

“Inilah matlamat kita. Ini penting jika kita mahu menjadikan Selangor sebagai negeri pertama di Malaysia memiliki nilai ekonomi RM500 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap demikian pada majlis pelancaran taman reka bentuk litar bersepadu (IC) semikonduktor Malaysia di Puchong Financial Corporate Centre (PFCC) yang dirasmikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2 Julai menunjukkan Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi kepada sumbangan KDNK sebanyak 25.9 peratus tahun lalu.

Meningkat 0.4 peratus berbanding 2022, nilai ekonomi Selangor juga buat pertama kali mencecah RM406.1 bilion, sekali gus menjadi negeri pertama di Malaysia melebihi paras nilai RM400 bilion.

Awal Julai, pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi menerusi ciapan di laman X memaklumkan Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia.

Negeri tersebut mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026).

Empat negeri yang melepasi tahap sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Labuan melepasi tahap berkenaan dengan wilayah ibu negara tertinggi iaitu USD29,967 (RM141,279).


Pengarang :