Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom ketika beraksi peringkat suku akhir acara keirin Sukan Olimpik Paris di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pada 11 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Shah Firdaus terharu hasrat bawa ibu bapa tunai umrah tercapai

SEPANG, 14 OGOS: Impian pelumba berbasikal trek lelaki negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk membawa ibu bapanya menunaikan ibadah umrah tercapai apabila sebuah agensi pelancongan Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menajanya ke Tanah Suci.

Berita mengenai kekecewaan Shah Firdaus yang tidak dapat mengotakan janji untuk mengerjakan umrah bersama ibunya kerana tidak berjaya meraih sebarang pingat pada acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 ternyata menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Shah Firdaus berkata selepas insiden itu, terdapat beberapa agensi pelancongan menghubunginya dengan menawarkan untuk menaja beliau merealisasikan hasratnya itu.

Namun semalam, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Paris, beliau dikejutkan dengan tajaan ikhlas.com yang menawarkan pakej umrah kepadanya pada bila-bila masa.

Shah Firdaus berkata beliau terharu dengan tawaran itu dan menyifatkan ia tepat pada waktunya.

“Sebelum ke Paris ibu tanya boleh belanja ibu pergi umrah? Saya cakap mestilah boleh tapi ibu doakan saya menang harapnya boleh pergi umrah bersama ibu dan ayah.

“Bila insiden di Paris berlaku, pengurus pasukan maklum kepada saya banyak agensi menawarkan untuk taja saya, tapi di KLIA memang betul-betul datang dan tawarkan sendiri kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Shah Firdaus berkata beliau akan berbincang bersama ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara John Beasley mengenai masa sesuai untuk menunaikan ibadah umrah kerana dijangka perlu beraksi pada Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Denmark Oktober ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata tajaan kepada Shah Firdaus diberikan kerana tersentuh dengan perjuangan pelumba berusia 28 tahun itu yang dilihat ikhlas untuk membawa ibu bapanya menunaikan ibadah umrah.

“Semasa temu bual selepas perlumbaan, Shah Firdaus terangkan impiannya yang sangat ikhlas … insya-Allah, setelah apa berlaku, kita harap ia membentuk beliau menjadi insan yang lebih memahami apa itu hidup dan cabaran, kembali bersemangat,” katanya.

Shah Firdaus gagal membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila disingkirkan pusingan final acara keirin lelaki meskipun menamatkan cabaran di kedudukan keempat Ahad lalu.

Atlet berasal dari Muar, Johor itu yang sedang memecut untuk menuju garisan penamat dirempuh pelumba Jepun Shinji Nakano yang menyebabkan pelumba Great Britain Jack Carlin hilang kawalan sekali gus terjatuh semasa pusingan terakhir di Saint-Quentin-en-Yvelines National Velodrome.

– BERNAMA


Pengarang :