Pameran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Siri pertama SIBS 2024 jana nilai transaksi RM12.2 bilion, lepasi sasaran keseluruhan

SHAH ALAM, 6 OGOS: Siri pertama Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion.

Invest Selangor memaklumkan, kejayaan luar biasa itu turut menarik lebih 8,500 pelawat ke persidangan di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur selama tiga hari pada bulan lalu.

“Sebanyak 23 surat setuju terima (LOA), surat hasrat (LOI), memorandum perjanjian (MoA), dan memorandum persefahaman (MoU) dimeterai sepanjang SIBS siri pertama berlangsung.

“Jumlah nilai transaksi daripada rundingan yang dilakukan dan pertukaran dokumen mencecah RM12.2 bilion tahun ini, melepasi sasaran RM7 bilion yang ditetapkan untuk keseluruhan SIBS 2024,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz melawat reruai selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 25 Julai 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Datuk Hasan Azhari Idris menjangkakan SIBS 2024 siri pertama berupaya menjana nilai transaksi RM3.5 billion dari sasaran keseluruhan sebanyak RM7 bilion.

Siri pertama SIBS 2024 yang diadakan pada 25 hingga 27 Julai lalu membabitkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor (Spark) dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor (SABC).

Antara negara yang mengambil bahagian termasuk negara-negara jiran Asean, Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, dan United Kingdom.

Dalam pada itu, Invest Selangor menambah, program Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ‘Unfolding Its Business Potential’ yang mengetengahkan peluang pelaburan di Selangor menjadi tunjang utama di Spark 2024.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama EXCO Pelaburan Ng Sze Han (tengah) meyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) dan Cyberview Sdn Bhd ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Selain itu, katanya, penganjuran SABC 2024 turut berjaya menarik lebih 200 delegasi antarabangsa berbanding hanya 100 delegasi pada program sama tahun lalu.

Siri kedua SIBS 2024 akan diteruskan di lokasi sama bermula 16 Oktober hingga 19 Oktober, membabitkan Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor.

Pengurus Silicon Island Development, Marianne Loke (kanan) memberi penerangan kepada pengunjung ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 26 Julai 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :