AGENSISELANGOR

Solat jenazah ghaib Ismail Haniyeh di masjid, surau seluruh Selangor malam ini

SHAH ALAM, 1 OGOS: Semua masjid dan surau di negeri ini diseru mengadakan solat jenazah ghaib buat pemimpin Hamas Ismail Haniyeh selepas solat Maghrib malam ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan perkara itu berdasarkan surat edaran yang diberi kepada semua masjid dan surau di Selangor hari ini.

Menurut Nur Syamira Md Suffri orang ramai dijemput menunaikan solat itu sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim zionis Israel.

“Semua masjid dan surau di Selangor diseru melaksanakan solat jenazah ghaib kepada Almarhum Ismail Haniyeh selepas solat Maghrib malam ini atau selepas menunaikan solat fardhu berjemaah yang lain (bergantung kepada masjid dan surau).

“Selain hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan solat tersebut secara berjemaah, orang ramai juga digalak menunaikan solat tersebut di rumah,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan arahan seluruh masjid pentadbirannya menunaikan solat jenazah ghaib susulan kematian Ismail Haniyeh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Mohd Na’im Mokhtar berkata arahan dikeluarkan kepada Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berhubung perkara itu.

Televisyen Iran melaporkan siasatan mengenai pembunuhan Ismail, 62, sedang dijalankan dan keputusan akan diumumkan kelak.

Ismail berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah presiden baharu republik Islam itu Masoud Pezeshkian pada Selasa.


Pengarang :