EXCO Belia dan Sukan Najwan Halimi (tengah) bergambar bersama atlet golf dan pegawai Selangor selepas Selangor memenangi satu emas dan dua perak ketika Sukan Malaysia ke-19 (SUKMAXXI) di Kelab Golf Sarawak, Kuching pada 18 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

SUKMA 2024: Golf tuai emas hari kelima, 25 pingat keseluruhan setakat ini

SHAH ALAM, 18 OGOS: Atlet Selangor menyumbang 10 lagi pingat ketika Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 masuk hari kelima.

Menariknya, emas baharu dikumpul menerusi acara tumpuan, golf berpasukan lelaki. Pasukan negeri, Austin Gan Zi Ming, Muhamad Ajmal Amin, Poon Jia Hao dan Ezekiel Riz Hafi mengalahkan pasukan tuan rumah petang tadi.

Pemegang emas SUKMA 2022 bagi petanque shooting lelaki, Ayzek Hakimi Safingan gagal mempertahankan kejuaraan namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas dengan Melaka.

Pingat itu antara enam pingat perak dikumpul hari ini. Kategori lain ialah memanah recurve 70 meter wanita dirangkul Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli, Taekwando lebih 73 kilogram (kg) wanita (Nurul Aesyah Aqilah Mohd Sukeri) dan Tenpin Boling Woman’s Bertiga (Nur Irdina Batrisya Mat Aris, Afiqah Kamilia Ali dan Nur Nais Falilnesa Isman).

Diikuti, golf individu lelaki diperoleh Muhammad Ajmal Mohd Fahri dan golf berpasukan wanita (Fong Zi Yu, Nur Batrisya Abul Ghani, Aaryti Ganesan dan G.Kaathiyahani).

Tiga acara Muaythai hari ini membolot pingat gangsa membabitkan kategori 45-48 kg lelaki dimenangi Muhamad Ridzuan Makueta) diikuti 54-57kg lelaki (Sharil Aiman Abu Hanipah) dan 57-60kg lelaki (Saafuan Shah Roslan).

Selangor mengutip 25 pingat keseluruhan pada SUKMA 2024 yang bermula sejak 14 Ogos lalu. Berbaki enam hari lagi, lapan emas disasar esok babitkan sukan renang, lawan pedang, tenis, sofbol, skuasy, kriket, taekwando dan olahraga.

Berlangsung di Sarawak, negeri mensasarkan 61 emas dan mahu berada di tempat tiga teratas.

Antara sukan tumpuan esok seterusnya peluang meraih emas adalah tenis, lawan pedang, sofbol wanita, skuasy, kriket, taekwando, renang dan olahraga.


Pengarang :