Pasukan Selangor berjaya menewaskan Wilayah Persekutuan 6-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Bola Sepak Wanita sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak pada 14 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

SUKMA: Bola sepak wanita tumpuan esok, misi Selangor tambah emas

KUCHING, 21 OGOS: Perlawanan akhir bola sepak wanita melibatkan pasukan Selangor dan Sabah antara yang menjadi tumpuan saingan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 esok.

Aksi perebutan pingat emas acara yang dipertandingkan kali pertama di temasya dwitahunan kebangsaan itu dijadual berlangsung pada 8.15 malam di Stadium Negeri di sini.

Secara keseluruhan, sebanyak 72 pingat emas dipertandingkan esok membabitkan 16 acara.

Acara olahraga di Stadium Sarawak memasuki hari keempat dan silambam yang dipertandingkan buat julung kali pada temasya kali ini masing-masing menawarkan 10 pingat emas.

Sementara itu, 10 pingat emas turut ditawarkan di Pusat Akuatik Pandelela Rinong melibatkan lapan bagi acara renang manakala dua lagi menerusi acara terjun.

Barisan petinju pula akan bertarung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan, Sri Aman bagi merebut lapan pingat emas manakala gelanggang judo di Dewan Balau Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Mukah mempertandingkan tujuh pingat emas.

Acara tenis yang bermula sejak 16 Ogos akan melabuhkan tirai esok dengan menawarkan lima pingat emas manakala memanah dan petanque masing-masing mempertaruhkan empat.

Sementara itu, lawan pedang di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri dan angkat berat di Dewan Stephen Kalong Ningkan, Betong masing-masing menawarkan tiga emas.

Dua pingat emas pula masing-masing akan menjadi rebutan dalam acara ping pong di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hwa No. 3, Kuching; gimnastik di Pusat Konvensyen Serian dan ragbi di Stadium Miri.

Acara berbasikal bukit yang menawarkan keseluruhan lapan pingat emas sejak 14 Ogos akan melabuhkan tirai esok dengan satu emas menjadi rebutan.

SUKMA 2024 berlangsung hingga 24 Ogos ini.

-BERNAMA


Pengarang :