Pasukan 4×100 gaya bebas wanita Selangor merangkul emas serta meleburkan rekod SUKMA dengan catatan masa 3:55.84 saat pada saingan akhir di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, Kuching . Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

SUKMA Hari Ke-10: Selangor pungut 27 emas, 41 perak, 31 gangsa

SHAH ALAM, 21 OGOS: Selangor kekal di tangga keempat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan 27 emas, 41 perak dan 31 gangsa setakat hari ke-10 temasya dwitahunan.

Hari ini, emas disumbang Andrew Goh menerusi acara 50 meter(m) kuak dada lelaki dengan catatan 27.40 saat(s), yang juga rekod baharu kebangsaan. Pada Isnin, Andrew memecah rekod kebangsaan 100m kuak dada dengan masa 1:01.39s. Beliau juga merangkul emas 4×100 rampaian campuran.

Atlet Lim Shun Qi pula memenangi emas acara 200m kupu-kupu individu wanita dan Jayden Goh Li Jie dalam 200m kupu-kupu lelaki.

Prestasi cemerlang atlet Selangor di pusat akuatik diteruskan dalam acara 4×100 gaya bebas wanita. Perenang dibarisi Morgan Kai Cheng Eleven, Jia Jia Yoong, Shun Qi Lim dan Zi Xian Khew memperbaharui rekod SUKMA dengan catatan 3:55.84s sekali gus mengutip emas.

Emas turut diraih atlet angkat berat lelaki Noor Hirzie Fariez dalam kategori tidak melebihi 73 kilogram dan Esther Joy Hong Li Chen menerusi acara 3000m lari berhalangan wanita. Pada Isnin, Esther Joy menggondol emas larian 5000m. Esok, Esther Joy menyasarkan emas ketiga peribadi acara 10,000m.

Aksi lain yang menjadi tumpuan esok ialah perlawanan akhir bola sepak wanita antara Selangor dan Sabah. Atlet Selangor turut bertanding acara pedang berpasukan lelaki, ragbi lelaki, renang 200m kuak dada dan silambam.

Hari ini, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli melawat perkampungan atlet SUKMA negeri di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kota Samarahan.

Dalam lawatan selama sejam, Baginda beramah mesra dengan atlet serta menitip kata semangat demi mengharumkan nama Selangor.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli hadir beramah mesra bersama sama atlet Selangor ketika Sukan Malaysia (SUKMA) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kota Samarahan pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan bergambar dengan atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng<br selepas mengalungkan pingat emas acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :