Atlet serta pegawai Selangor menyertai perbarisan lintas hormat kontinjen negeri pada acara pembukaan Sukan Malaysia ke-19 (SUKMA XXI) Sarawak, 17 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SUKMA Hari Ke-11: Selangor sasar 15 emas menerusi 11 acara hari ini

SHAH ALAM, 22 OGOS: Sebanyak 72 pingat emas dipertandingkan membabitkan 16 acara pada hari ke-11 Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, hari ini.

Selangor menyasar memperoleh 15 emas menerusi acara tenis, silambam, lawan pedang, tinju, judo, memanah, gimnastik artistik dan ragbi.

Tumpuan turut diberikan Selangor kepada acara olahraga, akuatik dan bola sepak bagi menambah emas sekali gus mencapai sasar berada di tangga tiga teratas sebelum temasya melabuhkan tirainya pada 24 Ogos ini.

Setakat malam tadi, Selangor di tangga keempat dalam carta keseluruhan pingat dengan kutipan 27 emas, 41 perak dan 31 gangsa.

Berikut perkembangan semasa SUKMA Sarawak hari ini:

11.05 pagi: Atlet Pulau Pinang, Sriven Tan rangkul emas acara lumba jalan kaki 10,000 meter lelaki

10.18 pagi: Pelari jarak jauh Wilayah Persekutuan, Kristian Tung sambar emas peribadi ketiga, ungguli acara 5,000 meter

9.40 pagi: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyaksikan pertandingan akhir acara silambam lelaki di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching.

Keberangkatan tiba Baginda pada 9.30 pagi diiringi EXCO Sukan Najwan Halimi bagi menyaksikan atlet Selangor Mahendran Manimaran bersaing dalam kategori poruthal 65-75 kg lelaki manakala Luthrabalan Parsuraman bawah 55 kg lelaki.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat menyaksikan pertandingan akhir acara silambam lelaki di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching pada 22 Ogos 2024. Foto FITRI HAZIM HAZAM/MEDIA SELANGOR

9.00 pagi: Jaguh renang Selangor Andrew Goh Zhe Yeng mencongak strategi untuk meleburkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) kuak dada individu lelaki petang ini.

Temasya kali ini menyaksikan Andrew memecahkan rekod kebangsaan menerusi acara 50 m kuak dada lelaki, semalam dan 100 m kuak dada pada 19 Ogos.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan bergambar dengan atlet renang negeri Andrew Goh Zheng Yeng selepas mengalungkan pingat emas acara 50 meter(m) kuak dada lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 21 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :