Pasukan Selangor melawan Johor pada aksi kumpulan B acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Stadium Tertutup Kota Samarahan pada 13 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Negeri Selangor
AGENDASUKANKINI

SUKMA: Selangor tewaskan Johor pada aksi pembukaan futsal

SHAH ALAM, 14 OGOS: Selangor menewaskan Johor 3-2 pada acara futsal Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak di Stadium Tertutup Kota Samarahan, semalam.

Aksi dalam perlawanan pembukaan kumpulan B sangat sengit dengan saling berbalas serangan untuk memburu gol daripada awal permainan.

Selangor mendahului perlawanan menerusi sepakan penalti ketua pasukan Syahir Iqbal Khan Akhbar Khan pada minit keenam selepas bola terkena tangan pemain Johor.

Dua minit kemudian, Johor kembali mengikat kedudukan 1-1 melalui rembatan Muhammad Rashidie Mahadi ke pintu gol Selangor.

Selangor berjaya mencetak jaringan kedua menerusi Muhammad Zufayri Shamsul Asmardy yang menyempurnakan sepakan penalti kedua (second spot) pada minit ke-20.

Syahir Iqbal menjadikan kedudukan 3-1 ketika perlawanan memasuki minit ke-23 dan Rashidie empat minit kemudian merapatkan defisit jaringan buat Johor.

Selangor akan bertemu Perak dalam perlawanan kedua pada esok.


Pengarang :