Pengerusi Kesatuan Ragbi Selangor Lim Yi Wei Ketika menyertai larian bersama pasukan ragbi wanita negeri selepas meninjau latihan berpusat menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di padang TUDM Subang. Foto ihsan Lim Yi Wei
AGENDASUKANKINI

SUKMA: Skuad ragbi lelaki, wanita Selangor sasar menang emas

PETALING JAYA, 3 OGOS: Skuad ragbi lelaki dan wanita Selangor menyasarkan memenangi pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak yang berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Pengerusi Kesatuan Ragbi Selangor Lim Yi Wei berkata pasukan ragbi negeri memenangi perak dalam edisi lepas dan berdasarkan prestasi semasa pihaknya yakin mengungguli acara tersebut.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku Lim Yi Wei. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Untuk Ogos ini kita sedia bertarung di SUKMA dan berpeluang menang emas kerana kedua-dua pasukan pernah masuk pusingan akhir tetapi hanya mendapat pingat perak sahaja.

“Bukan itu sahaja, kita juga siap sedia untuk bermain pada Piala Agong Ragbi pada Oktober nanti. Kita akan senaraikan 70 pemain tetapi akan buat saringan 40 pemain untuk wakili Selangor nanti,” katanya ditemui pada program Selangor Saring di sini, hari ini.

Pada SUKMA 2022, skuad ragbi lelaki Selangor hanya menang pingat perak selepas tewas dengan Negeri Sembilan 14-0. Begitu juga kategori ragbi wanita menjadi milik pasukan Kedah yang berjaya menewaskan Selangor 17-12.

Kejohanan SUKMA ke-21 dijadual bermula 17 hingga 24 Ogos dengan Sarawak menjadi tuan rumah bagi acara sukan dwi tahunan negara tersebut.

Bagi kejohanan kali ini, Selangor menyasarkan kutipan 61 pingat emas dan yakin Selangor berada pada kedudukan tiga teratas.

Untuk rekod, Selangor pernah menjuarai temasya sukan berkenaan di Sarawak pada 2016 dan Belanjawan Selangor 2024 memperuntuk RM8 juta sebagai persediaan kontinjen negeri menghadapinya.


Pengarang :