Aksi skuad bola sepak Wilayah Persekutuan melawan Pahang ketika saingan peringkat kumpulan SUKMA Sarawak 2024 pada 12 Ogos 2024. Foto Facebook Majlis Sukan Wilayah Persekutuan
AGENDASUKANKINI

SUKMA: Wilayah Persekutuan, Melaka mara separuh akhir bola sepak

KUCHING, 20 OGOS: Wilayah Persekutuan melangkah ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan bergaya selepas mengalahkan cabaran finalis edisi lepas, Pulau Pinang 2-0 pada aksi suku akhir di Stadium Mukah.

Skuad bimbingan Mohd Nidzam Adzha terpaksa menunggu sehingga babak kedua untuk meruntuhkan tembok kebal lawan apabila pemain tengah gantian Aiyubbi Solahuddin Nizam membalas kepercayaan yang diberikan dengan meledak jaringan pembukaan pada minit ke-58.

Pulau Pinang kendalian Manzoor Azwira bangkit memberikan tentangan dalam usaha memburu gol penyamaan, namun impian ke separuh akhir mereka dimusnahkan selepas Muhammad Shairulaikal melengkapkan kemenangan 2-0 Wilayah Persekutuan di penghujung masa tambahan separuh masa kedua.

Kejayaan itu menyaksikan Wilayah Persekutuan bakal membuat perhitungan dengan Kelantan untuk merebut tempat ke final pada pertembungan separuh akhir di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), Khamis ini.

Sementara itu, Melaka turut menempah tiket ke separuh akhir selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Perak 2-1 pada satu lagi aksi suku akhir di Padang MDDM.

Selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Perak di bawah bimbingan Mohd Shahril Nizam Khalil terlebih dahulu memecah kebuntuan gol menerusi penyudah penyerang Mohamad Haziq Danish Mohd Hafidz pada minit ke-61.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Melaka hanya memerlukan empat minit untuk menyamakan kedudukan hasil sentuhan pemain pertahanan Muhammad Aqil Rozaidi sebelum Muhammad Haziq muncul wira pasukan dengan jaringan kemenangan pada minit ke-87.

Menanti Melaka di separuh akhir yang dijadual berlangsung di Stadium Mukah Khamis ini ialah juara bertahan Terengganu.

— BERNAMA


Pengarang :