Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Turut sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, Pengarah Perkampungan Budaya Mah Meri, Rashid Esa dan Pengerusi Yayasan Budi Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan rasmi buku, bangga seni ukiran etnik Mah Meri diiktiraf Unesco

KUALA LANGAT, 19 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan merasmikan buku Orang Asli Mah Meri bertajuk Moyang-Spirit of Carey Island, nukilan pakar Orang Asli Rashid Esa.

Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke Amverton Cove, Golf & Island Resort di sini, pagi tadi bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut bersama Baginda berdua Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhammad.

Bertitah pada majlis itu, Sultan Selangor mengucapkan tahniah kepada Rashid, yang juga pengarah Perkampungan Budaya Mah Meri atas naskhah yang bakal menjadi panduan untuk memajukan Orang Asli.

Baginda turut berbangga dengan keunikan kaum Mah Meri yang menerima 22 pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dalam seni ukiran kayu.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat seni ukiran ketika majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Turut bersama Baginda Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Beta difahamkan kaum Mah Meri menetap di Pulau Carey lebih 300 tahun lalu. Tradisi, elemen seni dan kepercayaan kaum ini dicatat terperinci dalam buku ini sebagai rujukan generasi akan datang.

“Beta berharap dengan adanya buku ini juga produk kraftangan serta pelancongan, kaum Mah Meri akan lebih terkenal dan seterusnya menambahkan lagi ekonomi dan taraf hidup mereka,” titah Baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor bersama Tengku Permaisuri dan Raja Muda dibawa melawat ukiran hasil karya kaum Mah Meri serta dipersembah dengan tarian tradisional.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berharap buku setebal 190 muka surat itu mendedahkan masyarakat dengan keistimewaan Orang Asli dan menarik minat pengkaji sejarah atau penggiat seni.

“Beta percaya setiap kaum Orang Asli di negara ini mempunyai adat, tradisi dan seni tersendiri yang masih belum diketahui umum.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melihat ruang pameran selepas majlis pelancaran buku Moyang–Spirit People of Carey Island di Amverton Cove Golf & Island Resort Pulau Carey, Kuala Langat pada 19 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kaum Orang Asli yang lain seperti Temuan, Negrito atau Senoi juga harus mempunyai buku seperti ini agar adat tradisi dan kesenian masing-masing terus terpelihara serta dihargai,” titah Baginda.

Buku Moyang: Spirit People of Carey Island mengupas sejarah, budaya, bahasa, sosioekonomi dan ekspresi seni suku Mah Meri berdasarkan pemerhatian peribadi Rashid selama 35 tahun.

Karya itu bukan sahaja menonjolkan ukiran Moyang yang diiktiraf Unesco, malah turut menyelami cabaran dihadapi komuniti Mah Meri, yang kini berjumlah kurang 5,000 orang.


Pengarang :