Peserta menangkap ikan asing sempena program pemuliharaan sumber perikanan darat Sungai Langat anjuran Jabatan Perikanan Selangor di Denai Sungai Kebangsaan, Hulu Langat pada 9 Jun 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tawar insentif tangkap ikan bandaraya, lindungi ekosistem, runtuhan tebing sungai

AMPANG JAYA, 10 OGOS: Insentif RM1 ditawarkan bagi setiap kilogram tangkapan ikan bandaraya sebagai langkah memulihara sungai di Selangor dan spesies tempatan.

Dato’ Menteri Besar berkata insentif dicadang selama sebulan bermula 1 September itu bagi mengurangkan populasi hidupan itu yang menjadi antara penyebab kepada runtuhan tebing sungai dan ban.

“Ikan bandaraya ini dia bukan saja makan semua ikan (musnahkan ekosistem) tetapi turut bina rumah dengan mengorek lubang di tebing sungai.

“Ia akhirnya menyebabkan tebing rapuh dan runtuh yang mungkin menyebabkan banjir,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia 2024 Peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar pada Majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, Ampang pada 10 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis sama, EXCO Infrastruktur Ir Izham berkata perincian mengenai insentif tangkapan ikan bandaraya akan diumumkan kelak.

“Kita akan beritahu di mana tangkapan ikan bandaraya akan dilakukan. Insentif ini untuk membuang populasi ikan bandaraya kerana sudah terlalu banyak.

“Kalau berjaya kita akan lanjutkan program itu. Buat permulaan kita cuba sebulan. Untuk makluman pada 25 Ogos akan ada program tangkapan ikan ini di Sungai Damansara, jadi saya akan umumkan di sana,” katanya.

Pada 9 Jun, Izham berkata enakmen melarang pelepasan ikan invasif atau asing bakal dikuat kuasa tahun ini sebagai langkah memulihara sungai dan spesies tempatan.

Katanya undang-undang itu melibatkan pembuangan ikan antaranya jenis bandaraya, baung ekor merah dan keli afrika yang dikategorikan sebagai pemangsa sekali gus mengancam habitat asal.

Menurut Izham, kajian penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu mendapati ikan bandaraya menebuk tebing untuk bertelur dan menghakis tebing yang menyebabkannya runtuh dan sungai menjadi cetek.

 


Pengarang :