Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli bertemu rakyat menerusi Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Langat pada 8 Ogos 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENSISELANGOR

Tengku Amir Shah berkenan santuni rakyat, lawat lokasi menarik di Kuala Langat

SHAH ALAM, 12 OGOS: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor berkenan mencemar duli bertemu rakyat menerusi Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor di Kuala Langat pada 8 hingga 9 Ogos lalu.

Selangor Royal Office di Facebook memaklumkan Tengku Amir Shah berangkat ke Kanchong Darat untuk santapan pagi dan menyantuni penduduk di Indah Desa Cafe.

Baginda kemudian berangkat ke dua buah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Brilliant Chocolate & Bakery dan Perniagaan Kak Asiah selain mencuba menghasilkan beberapa jenis juadah kek serta pencuci mulut.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mencuba menghasilkan beberapa jenis juadah kek serta pencuci mulut. Foto Facebook Selangor Royal Office

Pada sebelah petang, Baginda menunggang sendiri kenderaan lasak pelbagai permukaan (ATV) dan motosikal scrambler di Ladang Satelit, Sungai Kelambu.

Tengku Amir turut berpeluang melihat operasi di Ladang Cili Fertigasi, mencabut pokok ubi dan menanam bawang.

Siri jelajah Baginda diteruskan ke Dewan Al-Rashid Arena untuk menyertai perlawanan persahabatan badminton berpasangan dengan lagenda badminton negara Dato’ Misbun Sidek selain menyaksikan acara sukan rakyat.

Pada sebelah malam, Baginda diraikan dalam acara santapan malam di Dewan SJK (C) Jenjarom, sebelum berangkat ke Temple Fo Guang Shang Dong Sen untuk melawat ke Galeri Pameran Seni dan Kaligrafi Cina.

Pada Jumaat, Baginda berkenan berangkat menziarahi Makam Diraja Almarhum Sultan Abdul Samad, Jugra.

Baginda menyantuni penduduk sekitar, menunaikan solat Jumaat dan menyaksikan majlis penyerahan bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Diraja Sultan Alaeddin, Kampung Bandar.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah menyaksikan majlis penyerahan bantuan dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Masjid Diraja Sultan Alaeddin, Kampung Bandar. Foto Facebook Selangor Royal Office

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Gagasan Rumpun Selangor telah menjelajah ke lima daerah bermula Februari lalu dimulakan dengan Hulu Selangor diikuti Hulu Langat, Sepang, Petaling dan Kuala Selangor.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan Gagasan Rumpun Selangor di sembilan daerah.


Pengarang :