Situasi semasa paras air Kolam Bukit Merah pada 2 Julai 2024 di beberapa kawasan sekitar di Kampung Selamat, Bukit Merah Laketown, struktur empangan dan di Kuala Sungai Kurau. Foto Facebook JPS Daerah Kerian
AGENDANASIONAL

Tiga empangan simpanan air mentah pada paras bahaya – Nadma

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Empangan Muda di Kedah, Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Teluk Bahang di Pulau Pinang menunjukkan penyusutan baki stok simpanan semasa air mentah berada pada paras bahaya iaitu masing-masing 7.44 peratus, 16.43 peratus dan 28.20 peratus, setakat semalam.

Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan lima lagi empangan menunjukkan baki stok simpanan air mentah semasa berada pada paras amaran iaitu kurang daripada 59.99 peratus.

Memetik Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), agensi itu berkata lima empangan tersebut ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dengan 32.40 peratus, Empangan Malut, Empangan Pedu dan Empangan Beris di Kedah masing-masing mencatatkan 37 peratus, 37.02 peratus dan 53.39 peratus serta Empangan Timah Tasoh di Perlis (38.49 peratus).

Rekod bagi bacaan paras bahaya adalah baki storan 29.99 peratus dan ke bawah, 30 peratus hingga 59.99 peratus (amaran) serta 60 peratus dan ke atas (normal).

Berkaitan status pencemaran udara bagi tempoh 30 Julai hingga hari ini, Nadma yang memetik Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Tanjung Malim, Perak; Nilai, Negeri Sembilan dan Kampung Raja Besut, Terengganu merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu masing-masing dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) 151, 117 dan 154.

Berhubung pemantauan penyakit berkaitan cuaca panas, Nadma yang memetik Kementerian Kesihatan memaklumkan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 119 kes setakat semalam berbanding 116 kes pada 29 Julai lepas dengan 83 kes berpunca kelesuan haba, strok haba (28 kes) dan lapan kes kejang haba.

Nadma memaklumkan daripada jumlah itu Terengganu menjadi negeri tertinggi dengan 20 kes, diikuti Kedah (19), Johor dan Pahang masing-masing 14 kes, Perak (13), Negeri Sembilan (10), Selangor (sembilan), Sabah (tujuh), Kelantan (lima), Perlis (empat), Kuala Lumpur (tiga) dan Pulau Pinang (satu).

Pecahan kes mengikut umur pula melibatkan 90 dewasa, 24 remaja, tiga kanak-kanak dan dua warga emas manakala kes kematian akibat strok haba kekal lima setakat ini.

“Terdapat satu kes strok haba yang masih dalam rawatan di wad biasa Hospital Teluk Intan, Perak. Semua kes lain telah mendapat rawatan dan sembuh,” menurut Nadma.

– BERNAMA


Pengarang :