Pemain Selangor FC Yohandry Jose Orozco (kiri) meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Penang FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya pada 27 Julai 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tiket perlawanan akhir Piala FA dalam talian mulai Jumaat ini

SHAH ALAM, 13 OGOS: Tiket perlawanan akhir Piala FA antara Selangor FC bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 24 Ogos dijual secara dalam talian mulai Jumaat ini.

Menurut Selangor FC, penyokong hanya boleh membuat pembelian tiket melalui laman sesawang TicketHotline.com.my dan tiada penjualan secara fizikal dibuat.

“Keutamaan awal pembelian tiket diperuntukkan kepada pemegang pas bermusim pada 16 Ogos ini bermula jam 10 pagi dan berakhir tepat jam 10 pagi pada 18 Ogos.

“Kuota pembelian tiket bagi seorang pemegang pas bermusim 2024/25 adalah dua tiket sahaja seorang.

“Manakala pembelian tiket bagi orang awam pula akan dibuka pada 18 Ogos bermula jam 10 pagi. Kuota pembelian tiket bagi umum adalah empat tiket sahaja seorang,” maklumnya di Facebook.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan sebanyak empat kategori tiket akan dijual bagi perlawanan akhir ini.

Final Piala FA itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 malam.

Empat kategori tiket yang diagihkan secara sama rata kepada kedua-dua pasukan adalah General Admission berharga RM50 dan RM70, Piala FA Premium (RM150) dan Piala FA VIP Grandstand (RM200).

Selangor FC menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-4 untuk melangkah ke perlawanan akhir manakala juara bertahan JDT mara ke final Piala FA selepas mengatasi Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan agregat 5-1.


Pengarang :