Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Ts Hasrolnizam Shaari (kanan) bersama Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Gs Azlikamil Napiah (kiri) membuat pertukaran MoU disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, Ampang pada 10 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tingkat pantauan sumber air, LUAS guna teknologi satelit, tambah baik aset

AMPANG JAYA, 10 OGOS: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi memperkasa pemantauan sumber air negeri.

Menerusi kenyataan, LUAS memaklumkan Selangor Earth Surface Activity Monitoring Systems (SESAMS) iaitu sistem pemantauan berasaskan data cerapan satelit dibangunkan untuk memantau aktiviti penggunaan tanah.

Katanya, pemantauan melibatkan kawasan badan air seperti tasik, kolam mahupun sungai serta kawasan berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air di Selangor.

“Sistem SESAMS yang dibangunkan berteraskan teknologi angkasa ini memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi penderiaan jauh, sistem maklumat geografi, sistem penentududukan sejagat, teknologi maklumat dan komunikasi.

“Pembangunan sistem ini adalah langkah ke hadapan Selangor untuk memperkasakan lagi pemantauan sumber air negeri sedia ada dengan teknologi satelit dimiliki MYSA sekali gus meningkatkan keberkesanan operasi LUAS.

“Jalinan kerjasama strategik ini dapat memperkasa penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat dan ia juga seiring dengan komitmen MYSA dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) selaras dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menandatangani plak pada majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana, Ampang pada 10 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Majlis pertukaran MoU antara Pengarah LUAS Ts Hasrolnizam Shaari dan Ketua Pengarah MYSA Gs Azlikamil Napiah disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin sempena sambutan Hari Air Sedunia 2024 peringkat Selangor di Tasik Pandan Perdana di sini hari ini.

Hasrolnizam ketika berucap berkata LUAS turut menjenamakan semula Skuad Pantas LUAS kepada Skuad Elit Air LUAS (SKEAL) sebagai barisan hadapan menangani permasalahan pencemaran sumber air di tapak.

“Skuad ini yang bertugas 24 jam akan dilengkapi peralatan yang dinaik taraf dan ditambah baik untuk meningkatkan lagi keberkesanan dan kecekapan operasi pemantauan, rondaan dan mitigasi di tapak.

“Selain menggunakan kenderaan darat, pemantauan dan rondaan LUAS di tapak selepas ini akan mula menggunakan aset seperti jet ski yang dilihat dapat membantu memudahkan semakan teknikal dan tindakan di tapak,” katanya.


Pengarang :