EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kiri) bersama Ahli Parlimen Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu meninjau operasi rumah pam baharu di Taman Sri Muda, Klang pada 5 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Tingkat pengurusan infrastruktur, cegah banjir kawasan kritikal

KLANG, 5 OGOS: Pelbagai projek giat dilaksanakan kerajaan persekutuan dan Selangor, termasuk meningkatkan pengurusan infrastruktur bagi menangani masalah banjir secara menyeluruh.

EXCO infrastruktur menjelaskan usaha itu antaranya menambah ketinggian tembok banjir sedia ada di sepanjang Sungai Klang, selain menaik taraf rumah pam di kolam takungan.

“Usaha berterusan Selangor, pusat dan pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan isu banjir secara holistik sebagai persiapan jika berlaku banjir lebih besar,” kata Ir Izham Hashim, di sini.

Ditemui selepas merasmikan rumah pam di Taman Sri Muda hari ini, jelasnya, Selangor turut memohon semula projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Langat 2 (Hulu Langat) dan RTB Sungai Buloh Fasa 2.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) melihat pelan rumah pam di Taman Sri Muda, Klang pada 5 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata projek dengan anggaran kos keseluruhan RM1.2 bilion sangat diperlukan berikutan ia melibatkan lembangan yang luas untuk kawasan yang kritikal.

“RTB Langat 2 (Hulu Langat) ini melibatkan kawasan Kajang, jadi boleh cegah banjir dia sana. Dua projek ini kalau dapat kelulusan dijangka siap dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Terdahulu, Ir Izham berkata penambahan tiga unit pam skru baharu di pintu air Taman Sri Muda mampu mengepam keluar air lima ganda, sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan berhampiran.

Memiliki kapasiti keseluruhan 5,100 liter sesaat, pam berkos RM7.1 juta yang siap sejak Mei lalu
juga mampu menyedut dan mengeluarkan segala sampah tanpa sangkut.

Sebelum ini, perdana menteri berkata enam projek tebatan banjir di Selangor seperti pembinaan kolam takungan dwifungsi ditender semula dengan segera, selewatnya Jun 2023.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, projek cakna rakyat dan berdampak tinggi mesti dilaksana secara tender supaya menjamin nilai faedah terbaik dan memberi penjimatan kepada kerajaan.


Pengarang :