AGENDAJENAYAH

Wanita ditolak suami masuk gaung merangkak selamatkan diri

IPOH, 1 OGOS: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila bukan sahaja dicekik, malah cuba dibunuh oleh suaminya dan ditolak ke dalam gaung di Lebuh Raya Timur Barat (JRTB) Gerik dalam kejadian Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifli Mahmood berkata kejadian berlaku apabila suami mangsa berumur 39 tahun telah membawa mangsa, 32, dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak melalui lebuh raya utama atas alasan mahu pulang ke kampung pada 5.30 petang, 26 Julai.

“Sepanjang perjalanan berlaku pertengkaran mulut antara mereka, setibanya di satu tempat suspek telah memberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa dengan sebilah pisau, mangsa merayu namun suspek mencekik leher mangsa.

“Mangsa bertindak terjun dari kereta tetapi telah dimasukkan semula oleh suspek dan terus memecut sehingga tiba di kawasan KM31.2 JRTB Gerik kira-kira pukul 4 hingga 5 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulkifli berkata setibanya di kawasan terbabit, berlaku lagi pertengkaran dan suspek telah menarik mangsa keluar dari kereta dan terjadi pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan, sebelum suspek menolak mangsa sehingga jatuh ke dalam gaung.

Beliau berkata polis menerima panggilan daripada orang awam yang menjumpai mangsa keseorangan di tepi jalan pada 2 petang, 27 Julai dan mangsa yang mengalami kesan calar, luka serta lebam pada tubuh badan telah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Gerik untuk menerima rawatan awal.

“Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa telah bertindak merangkak naik ke bahu jalan untuk menyelamatkan diri sebelum dijumpai orang awam … mangsa kini menerima rawatan di Hospital Daerah Taiping,” katanya.

Zulkifli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan suspek mempunyai beberapa rekod lampau kesalahan berkaitan dadah.

“Suspek telah ditangkap oleh pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Baling, Kedah kerana terdapat penglibatan kes di daerah berkenaan pada 31 Julai lepas. Sejurus selesai siasatan, suspek akan ditangkap semula oleh IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :