Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) Mohd Hasry Nor Mohd pada Majlis Pengakuan Menerima Jawatan pada 1 Ogos 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIASELANGOR
PBTSELANGOR

Yang dipertua baharu tekad terus majukan Kuala Langat, tarik pelaburan

KUALA LANGAT, 1 OGOS: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bertekad terus memajukan kawasan itu sekali gus menarik pelaburan ke daerah berkenaan.

Mohd Hasry Nor Mohd berkata menjadi daerah tumpuan pembangunan dalam projek Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) yang terkandung dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Kuala Langat memangkin pelaburan berkualiti kepada negeri.

“Di Kuala Langat pembangunan sedang rancak. Itu peluang untuk saya gunakan sepenuhnya pastikan pelabur sedia ada dan berpotensi datang melabur di sini.

“Itu saya minta supaya adanya dasar memudahcara perniagaan (ease of doing business) bagi mempermudah pelabur untuk melabur di Kuala Langat,” katanya selepas majlis pengakuan menerima jawatan hari ini.

Mohd Hasry, 46, yang berkhidmat sebagai penjawat awam bermula 2005 merupakan lulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Sumber Tanah dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau sebelum ini juga pernah memegang jawatan yang dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata IDRISS di Sepang dan Kuala Langat bakal membuka hab pelaburan dan kawasan perindustrian baharu di negeri ini di bawah RS-1.

Pembangunan Taman Industri Pintar NCT (NSIP) sebuah taman perindustrian terurus pertama negara serta Pelabuhan Pulau Carey dan Zon Ekonomi Khas Pulau Carey melibatkan daerah Kuala Langat antara projek yang terkandung di bawah RS-1.


Pengarang :