BERITA UTAMASELANGOR

Ekonomi kukuh, Selangor terus ‘dicemburui’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 23 JAN: Walaupun difitnah pihak tertentu, pentadbiran Selangor terus kukuh memacu hala tuju kemajuan negeri dengan penuh konsisten dan berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan negatif terhadap Kerajaan Selangor dilempar ekoran perasaan cemburu pihak tertentu terhadap kejayaan dikecapi negeri itu.

“Setiap hari, setiap malam kita diserang. Tetapi saya cukup berasa bangga saya kerana saya masih boleh berdiri tegak untuk memaklumkan Selangor kekal negeri paling tinggi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Sebab itu ramai yang cemburu. Kita diserang, tetapi dengan keyakinan yang ada pada pucuk pimpinan negeri, kita akan terus membangunkan Selangor dan memberi kemakmuran kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran KISS, di Padang Awam Kampung Permatang, di sini, semalam.

Terdahulu, Selangor menjadi negeri penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pada 2016 sebanyak 22.7 peratus menerusi laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pertumbuhan positif itu menjadi penanda aras bahawa kemajuan ekonomi berada pada landasan terbaik.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, pelbagai kejayaan diraih Selangor kini dipadamkan pihak tertentu, khususnya media kawalan individu berkepentingan.

“Kejayaan ini tidak dilaporkan, semuanya dipadamkan dan ketika pilihan raya hampir tiba, Selangor terus diburukkan, diserang serta difitnah.

“Biarlah kerana apa yang penting bagi pentadbiran negeri ialah mengangkat pembangunan Selangor untuk rakyat keseluruhannya,” katanya.


Pengarang :